Presiden Baharu Korea Selatan, Lee Jae Myung. Foto: Fb Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Lee Jae-myung atas kemenangan beliau dalam pilihan raya serta pelantikan sebagai Presiden Korea Selatan yang baharu.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebook hari ini, Anwar menyifatkan kemenangan tersebut sebagai titik perubahan penting buat Korea Selatan yang telah melalui fasa persaingan politik sengit dan penelitian awam.

Menurutnya, rakyat Korea telah bersuara demi membawa pembaharuan bagi memperkukuh kepercayaan terhadap institusi serta hala tuju negara itu.

“Negara itu telah bangkit dengan semangat ketabahan dan komitmen kepada nilai-nilai demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Presiden Lee dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan.

Ini terutamanya dalam bidang perdagangan, teknologi, keamanan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“Hubungan antara kedua-dua negara telah dipertingkatkan ke tahap Strategic Partnership pada November 2024, yang merupakan satu pencapaian penting mencerminkan aspirasi bersama.

“Malaysia juga berharap agar ASEAN dapat memainkan peranan lebih besar dalam dasar serantau Seoul,” ujarnya.

Tambah Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN dan APEC pada tahun 2025, Malaysia dan Korea Selatan berada pada kedudukan terbaik untuk memacu inisiatif serantau yang memberi impak tinggi.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan Presiden Lee di Kuala Lumpur sempena Persidangan ASEAN pada Oktober ini, dan sekali lagi di Gyeongju untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.

“Malaysia mendoakan agar Presiden Lee diberi kebijaksanaan serta kejayaan dalam memikul amanah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast