Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 6 bertajuk Pengangkutan untuk Rakyat Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam di Menara Prasarana, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JUN 2025.

PETALING JAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memuji mutu perkhidmatan Institut Jantung Negara (IJN) yang disifatkannya sebagai cemerlang selepas baginda menerima rawatan di hospital pakar terkemuka itu baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pujian itu disampaikan sendiri oleh Sultan Hassanal Bolkiah kepada beliau ketika mereka bertemu sebelum baginda berangkat pulang ke Bandar Seri Begawan semalam.

“Tuanku Sultan Brunei semalam berangkat pulang setelah dirawat, beliau berkata kepada sebagai seorang yang mempunyai pendedahan dan pengalaman dengan pusat hospital terbaik di dunia.

“Saya mesti sebut saya sangat berpuas hati tentang mutu khidmat dan kecemerlangan kepakaran doktor di IJN,” katanya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menziarah baginda Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan Brunei, di Kuala Lumpur. 3 Jun 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 6 di Menara Prasarana di sini hari ini.

Semalam, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang selepas baginda dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada Sabtu lalu.

Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia pada 25 Mei lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei lepas.

Baginda berehat di IJN sejak 27 Mei lalu kerana keletihan dan kemudian berehat di hotel setelah dibenarkan keluar dari IJN.

Sementara itu, Anwar malam ini mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 yang membincangkan isu berkaitan pengangkutan awam.

Forum yang berlangsung di Menara Prasarana di sini membincangkan topik ‘Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam’.

Ahli panel terdiri daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

FIM Siri 6 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi platform interaktif untuk membincangkan cabaran dan pendekatan strategik ke arah memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang inklusif, mampu milik dan lestari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast