KUANTAN – Minat mendalam disertai keazaman, usaha dan sokongan ibu bapa mendorong pelumba cilik kelahiran Pahang, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff semakin menyerlah dalam sukan permotoran tanah air.
Manakan tidak, Al-Adam, 11, yang baharu dua tahun menceburkan diri dalam arena perlumbaan motosikal sudah mengumpul deretan trofi, anugerah selain beberapa kali menduduki tangga pertama dan kedua di podium perlumbaan.
Terbaharu, beliau merekodkan pencapaian cemerlang dinobat Juara Keseluruhan Perlumbaan Pusingan Akhir Sepang International Circuit (SIC) Ohvale Junior Championship (kategori 110cc) pada 19 Oktober 2024 di Litar Sepang mengatasi 15 pelumba-pelumba dari Vietnam, China, Indonesia dan Singapura.
Bapanya, Mohd Hamirul Aliff Abd Halim, 33, memberitahu, anak bongsunya itu menunjukkan minat terhadap motosikal bermula seawal usianya tujuh tahun.

“Saya sebelum ini dia hanya suka ikut saya pergi ride sahaja. Suatu hari saya tengok dia minat dan pandai main pocketbike dan saya tanya dia nak main motor besar ke? Dia mengiyakan.
“Dia sanggup pergi ke Klinik Pocketbike di Serambi Teruntum untuk belajar. Jadi, melihat potensi dia, saya belikan dia pocketbike. Lepas tu masuk pertandingan dan lama-lama beralih kepada motosikal besar dan menyertai perlumbaan ketika dia berusia sembilan tahun.
“Disebabkan dia muncul juara pada tahun pertama penglibatan dalam SIC Ohvale Junior Championship tahun lepas, tahun ini dia perlu bersaing dalam kategori 160 cc pula,” kata Mohd Hamirul Aliff ketika ditemui di kediamannya di Sungai Isap di sini hari ini.
Bercerita lanjut, bapa kepada tiga anak itu terpaksa berhenti kerja di sebuah syarikat menjual tayar dan bekerja sebagai penghantar barangan secara sambilan agar dapat meluangkan masa membawa Al-Adam mendalami latihannya.
Katanya, setiap dua minggu mereka akan berkampung selama beberapa hari di Stadium Gong Badak, Terengganu bagi sesi latihan Al-Adam kerana ketiadaan fasiliti permotoran rasmi di sini bagi tujuan tersebut.

“Kalau di Terengganu ada litar permotoran yang lebih sesuai dan mudah. Kat sini pernah berlatih di dewan berhampiran, ada orang mengadu kata bising.
“Jadi, saya kena berkorban untuk memastikan Al-Adam lebih maju. Di sini tak ramai lagi pelumba motorsikal seperti dia,” jelasnya.
Disebabkan itu juga, Mohd Hamirul Aliff memberitahu, beliau dan isteri mengeluarkan peruntukan yang agak besar bagi menyokong minat Al-Adam termasuk kos penyelenggaraan jentera, pengangkutan dan sut perlumbaan.
Sehingga kini, beliau mendedahkan telah mengeluarkan hampir RM100,000 bagi tujuan tersebut tidak termasuk sebahagian bantuan diterima daripada kerajaan negeri dan tajaan lain oleh pasukannya, ZK Racing.
“Tapi setakat ini masih belum memperoleh penyumbang bagi menampung kos yuran pertandingan sekitar RM6,800 untuk lima pusingan SIC Ovhale Junior Championship kategori MiniGP 160cc.
“Bagi pertandingan kali ini, pusingan pertama telah pun berlangsung di Sepang dan pusingan kedua di Beranang di mana dia mendapat tempat pertama dan kedua.
“Untuk pusingan ketiga akan diadakan di Tangkak bulan Julai. Kalau ada rezeki keseluruhan mendapat tempat pertama dan kedua, Al-Adam akan mewakili malaysia ke pertandingan di Sepanyol.
“Pertandingan akan ditanggung sepenuhnya di bawah ZK Racing, tapi kos perbelanjaan lain mungkin kena cari lain,” jelasnya.

Melihat potensi besar anak bongsu dari tiga beradik ini, Mohd Hamirul Aliff berkata, mereka sekeluarga sanggup berkorban dengan harapan Al-Adam dapat menjadi pelumba mewakili Malaysia ke peringkat dunia kelak.
Sementara itu, Al-Adam sendiri meluahkan rasa syukur mempunyai kedua ibu bapa dan adik-beradik yang menyokong dan memberi peluang dia mengejar minat dan cita-cita menjadi pelumba negara.
“Saya bertuah kerana keluarga sentiasa menyokong saya. Impian saya nak jadi seperti Hakim Danish, pelumba Red Bull MotoGP Rookies Cup sebab dia hebat dan saya memasang impian menjadi sepertinya. Saya akan teruskan latihan untuk tiga lagi pusingan akan datang,” katanya.

Difahamkan, Al-Adam pernah terjatuh dihempap motosikal dan mukanya terkena ekzos ketika latihan bulan lepas namun ia sama sekali tidak menghalangnya meneruskan latihan agar beroleh kejayaa dalam tiga pusingan yang akan datang.
Beliau yang mempunyai dua jentera motosikal berkuasa tinggi (bigbike) dan satu jentera MiniGP mengidamkan untuk mempunyai sebuah motosikal jenis Ducati suatu hari nanti.– MalaysiaGazette
















