KUALA LUMPUR -Pelaksanaan e-invois bagi pembayar cukai yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta (Fasa IV) akan ditangguhkan kepada 1 Januari 2026 berbanding tarikh asal 1 Julai 2025.
Perkara itu diumumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan malam ini,
Bagaimanapun katanya, tarikh pelaksanaan mandatori e-invois bagi pembayar cukai yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta, atau Fasa III, kekal pada 1 Julai tahun ini.
“Kerajaan mengiktiraf komitmen para pembayar cukai, khususnya perniagaan dalam kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dalam mematuhi keperluan undang-undang berkaitan e-invois.
“Kerajaan juga sedar akan keperluan masa persediaan yang mencukupi serta cabaran operasi yang dihadapi dalam pelaksanaan sistem ini,” katanya.
Menurut LHDN, Kementerian Kewangan juga bersetuju untuk mengecualikan pembayar cukai yang mencatat pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 daripada keperluan e-invois buat masa ini.
Dalam tempoh ini, pembayar cukai dibenarkan mengeluarkan e-invois bersepadu bagi transaksi, termasuk e-invois yang dijana sendiri.
“Jika pembeli meminta e-invois, penjual hanya perlu mengeluarkan e-invois bersepadu tanpa perlu mengeluarkan satu e-invois untuk setiap transaksi secara individu,” tambah kenyataan itu lagi.
LHDN turut menegaskan bahawa tiada tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 akan diambil bagi ketidakpatuhan terhadap peraturan e-invois sepanjang tempoh kelonggaran ini, selagi keperluan e-invois bersepadu dipenuhi.
Pada bulan Februari lalu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) telah menggesa kerajaan untuk menaikkan ambang pengecualian e-invois bagi PMKS kepada mereka yang mencatat jualan tahunan di bawah RM300,000, berbanding had sebelumnya iaitu RM150,000.
Untuk rekod, di bawah Fasa I, sistem e-invois telah diperkenalkan secara berperingkat bermula 1 Ogos tahun lalu, bermula dengan perniagaan yang mempunyai hasil atau perolehan tahunan melebihi RM100 juta.
Fasa II bermula pada 1 Januari tahun ini dan melibatkan pembayar cukai dengan hasil tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.
Sebelum ini, Fasa III dirancang untuk melibatkan semua PMKS tanpa mengira hasil tahunan, dengan pelaksanaannya dijadualkan bermula pada 1 Julai tahun ini. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast













