Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menggesa supaya sebarang keputusan berkaitan pengimportan, pelaburan atau pelesenan dalam sektor produk yang mengandungi nikotin mesti berlandaskan prinsip kesihatan awam sebagai asas utama.

Presidennya, Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menerajui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dengan lebih tegas, telus dan berkesan.

Ia termasuk menyemak semula had nikotin yang dibenarkan, mengawal penjualan dan pengiklanan secara ketat serta melaksanakan penguatkuasaan yang menyeluruh melalui kerjasama rentas agensi.

Tegas beliau, Akta 852 serta akta berkaitan lain seperti Akta Racun 1952 tidak digubal untuk merangsang pertumbuhan industri rokok elektronik atau produk yang mengandungi nikotin.

“Sebaliknya ia diwujudkan untuk melindungi rakyat daripada kesan buruk produk ini yang telah dibuktikan melalui pelbagai kajian saintifik.

“Adalah amat mendukacitakan sekiranya pengecualian nikotin daripada senarai racun dilakukan semata-mata untuk membolehkan pemberian lesen pengilangan sebegini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan berkaitan pemberian lesen interim bagi pengilangan produk nikotin di Malaysia kepada sebuah syarikat di luar negara yang disifatkan bertentangan dengan objektif serta matlamat Akta 582 dan Akta Racun 1952.

Menurut Dr. Jamalludin, sebagai negara yang menandatangani Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang digubal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia bertanggungjawab melaksanakan tindakan menghalang permulaan penggunaan tembakau, menggalakkan penghentian dan mengurangkan pendedahan kepada asap serta bahan berkaitan nikotin.

Sehubungan itu, ujarnya, membenarkan pengeluaran produk nikotin walaupun untuk tujuan eksport boleh dianggap bercanggah dengan semangat dan komitmen di bawah FCTC serta boleh menjejaskan kedudukan Malaysia dalam arena kesihatan awam global.

Tegas beliau, aspirasi utama Akta 852 dan akta-akta berkaitan lain juga adalah untuk menjaga kesihatan awam khususnya generasi muda dan tidak pernah bertujuan membuka ruang pelaburan dalam produk ketagihan seperti vape dan rokok elektronik.

“Kerajaan perlu meletakkan kesihatan awam sebagai keutamaan, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab global terhadap kesejahteraan manusia sejagat,” katanya.

Tambah Dr. Jamalludin, keuntungan ekonomi daripada industri nikotin juga adalah kecil, tidak menyeluruh manfaatnya kepada masyarakat dan tidak setimpal dengan kos kesihatan awam yang ditanggung negara.

Sebaliknya, kata beliau, beban rawatan akibat penyakit berkaitan seperti kanser, penyakit paru-paru kronik dan penyakit jantung semakin meningkat dan membebankan sistem kesihatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast