KUALA LUMPUR – Malaysia sentiasa menyokong usaha Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin menerusi pelbagai usaha.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya penjajahan dan pengusiran terhadap warga Gaza sekali gus menentang kekejaman Israel.
“Kami sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh, Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdoğan untuk menggunakan segala wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya.
Anwar berkata, perkara tersebut dibincangkan ketika panggilan telefon antara dua pemimpin itu, petang semalam.
Jelasnya, kedua-dua mereka turut berkongsi mengenai kunjungan rasmi Erdogan baru-baru ini ke Malaysia yang memperkukuh asas hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
Anwar menyifatkan lawatan rasmi itu sebagai paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara kerana turut menyentuh kepentingan bersama.
“Saya melihat kunjungan itu sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju yang jitu kedua-dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat.
“Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye, terutamanya dalam membentuk satu kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke tengah pentas dunia,” tambahnya.
Anwar juga memaklumkan beliau menerima ucapan Aidiladha daripada Presiden Turkiye.
“Dalam semangat Aidiladha pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan Ilahi—Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette















