KUALA LUMPUR – Aktivitis dan pelukis grafik kontroversi, Fahmi Reza mendakwa dirinya telah dihalang untuk melakukan perjalanan ke luar negara selepas disenaraihitamkan untuk memasuki ke Sabah baru -baru ini.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, dia dimaklumkan perkara itu ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.
“Saya ingin pergi ke Singapura bagi menyaksikan persembahan secara langsung kumpulan kegemarannya iaitu Slant dari Korea dan Sial dari Singapura dan merancang untuk dua hari satu malam di sana.
“Apabila sampai di KLIA untuk penerbangan pukul 9.35 pagi, seperti biasa, saya kena tahan di kaunter imigresen pelepasan antarabangsa dan diminta duduk di pejabat imigresen sementara pegawai check dengan TCO (Pejabat Kawalan Perjalanan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Fahmi, selepas selesai urusan hampir setengah jam pegawai Imigresen memaklumkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak memberi kebenaran kepadanya ke luar negara.
“Saya tanya, sebab apa? Dia jawab perlu tanya Bukit Aman sebelum saya dibawa keluar dari kawasan pelepasan antarabangsa.
“Tak bagi saya naik kapal terbang, tak benarkan saya ke luar negara. Apa kesalahan saya? Hanya polis Bukit Aman dan Kerajaan Madani yang boleh jawab.
“Saya hanya buat lukisan yang mengkritik pelantikan TYT Musa Aman dan kritik Kerajaan Madani. Terima kasih Bukit Aman dan Kerajaan Madani untuk hadiah hari jadi yang aku tak akan lupakan. Selamat Hari Raya Aidiladha,” jelasnya.
Pada minggu lal, Fahmi dilarang masuk ke Sabah dan dihantar pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, selepas diberikan notis penolakan masuk dan mendakwa arahan itu datang daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah. – MalaysiaGazette
















