Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita di Sungai Teriang, Bera Sumber : JBPM Pahang

KUANTAN – Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki terjatuh ke dalam sungai Teriang di Bandar Baru Bera dekat sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.58 petang tadi.

Beliau berkata, saksi kejadian memaklumkan mangsa yang berusia 31 tahun berada di dalam kereta jenis Perodua Bezza yang diletakkan di tepi sungai itu bersama seorang anak berusia satu tahun.

“Maklumat awal saksi mengatakan mangsa dan anaknya berada di dalam kereta itu kerana mengikuti suami melakukan aktiviti memancing di lokasi terbabit.

“Menurut saksi, secara tiba-tiba, kereta itu bergerak menghala ke dalam sungai. Suami mangsa sempat menyelamatkan anak yang berada di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Zulfadli berkata, mangsa yang cuba untuk keluar daripada kenderaan itu gagal dan dihanyutkan arus deras.

Berikutan itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukti Angin dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast