Pemain ASEAN All Stars, Aguero mengasak pemain Manchester United, Kobbie Mainoo pada perlawanan Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Tonggak naturalisasi negara, Sergio Aguero menjadi pilihan pendatang baharu Liga Malaysia (Liga M), Brunei DPMM FC yang menyaksikan perpindahan pemain kelahiran Argentina itu akhirnya menjawab teka teki tentang masa depannya selepas Sri Pahang FC sebelum ini melepaskan ramai tonggak utama.

Menerusi satu kenyataan media, kelab yang sebelum ini beraksi di Liga Singapura itu mengesahkan sudah berjaya mendapatkan tandatangan Aguero dan bakal memperkuatkan pasukan itu.

“DPMM FC bakal membawa masuk pemain naturalisasi Malaysia, Aguero dari Sri Pahang FC. Dia sudah merekodkan 17 penampilan untuk skuad kebangsaan.

“Dia juga terpilih beraksi untuk Asean All-Stars baru-baru ini dengan Manchester United sebagai ketua pasukan pasukan bersama Amani Aguinaldo yang juga bakal menyertai DPMM untuk musim depan,” kata kelab itu.

Aguero sebelum ini menampilkan aksi mengagumkan ketika memimpin pasukan Asean All-Stars menewaskan Manchester United dalam aksi persahabatan antarabangsa dua minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, pasukan itu turut mengumumkan mengikat bekas pemain kebangsaan, Tommy Mawat yang sebelum ini beraksi dengan Perak FC.

Brunei DPMM FC dilihat cukup aktif dalam pasaran perpindahan pemain ketika ini sebagai persediaan untuk menghadapi Liga Super bagi musim 2025/26.

Kelab itu juga turut berjaya memancing penyerang muda kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta sekali gus memberi amaran betapa seriusnya mereka menghadapi Liga M. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast