Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bergambar bersama usahawan wanita pada Majlis Women in Export Forum 2025 (WiEX), MATRADE di MATRADE Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan ‘Women Export Incubator’ sebagai pusat sehenti latihan dan pemerkasaan eksport untuk membimbing usahawan wanita menembusi pasaran antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inkubator itu perlu akan menyediakan bimbingan eksport secara menyeluruh termasuk khidmat mentor, latihan pensijilan antarabangsa, ruang kerja bersama dan klinik perniagaan digital yang dikhususnya untuk wanita di kawasan luar bandar dan kumpulan B40.

“Saya juga cadang adanya penubuhan Skim Dana Pemerkasaan Wanita Global, satu bentuk pembiayaan bersasar bagi membantu usahawan wanita yang mempunyai potensi tinggi tetapi menghadapi kekangan dari segi akses kepada modal.

“Skim ini akan memberi fokus kepada keperluan seperti pensijilan eksport, penyertaan dalam ekspo antarabangsa, penjenamaan global dan keperluan logistik.

“Sudah tiba masanya pemerkasaan wanita beralih daripada retorik kepada pelaksanaan konkrit yang bersifat inklusif dan strategik. Wanita bukan lagi sekadar pelengkap dalam ekonomi, malah berperanan sebagai peneraju pembangunan negara secara signifikan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Forum Women in Export (WiEX) 2025 bertemakan ‘Dari Tempatan ke Global: Strategi Eksport Untuk Usahawan Wanita’, di sini, hari ini.

Gelagat orang ramai pada Majlis Women in Export Forum 2025 (WiEX), MATRADE di MATRADE Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JUN 2025.

Ahmad Zahid turut mencadangkan agar diwujudkan Anugerah Wira Ekonomi Wanita untuk mengiktiraf sumbangan dan kejayaan luar biasa wanita dalam sektor perdagangan, teknologi, industri halal dan eksport serantau.

Menurutnya, pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan tetapi ia nerupakan platform untuk memperkukuh diplomasi ekonomi serta penjenamaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menekankan kepentingan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) sebagai platform penting untuk memperkukuh kemahiran wanita dalam pelbagai bidang termasuk teknologi dan keusahawanan.

Katanya, TVET mampu menjadi pintu masuk kepada pembangunan modal insan wanita yang lebih berdaya saing dan relevan dalam era ekonomi digital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast