KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri berhubung penyelewengan dana sukuk sebuah lebuh raya di Lembah Klang hari ini.
Difahamkan, proses rakaman tersebut dilakukan bermula pukul 9 pagi dan selesai pukul 3.07 petang tadi di kediaman pemegang konsesi lebuh raya itu di ibu negara.
Menurut sumber, pihak penyiasat SPRM akan menyambung merakam keterangan ke atas Tan Sri itu esok atas faktor kesihatannya.
“Sehingga ini, SPRM telah merakam seramai 51 saksi termasuk Tan Sri serta ahli keluarganya dan proses sama akan berlangsung esok,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, dua pegawai penyiasat SPRM melaksanakan proses itu di kediaman Tan Sri berkenaan di ibu negara.
Selain itu, sumber memaklumkan SPRM turut melakukan serbuan di kediaman Tan Sri berkenaan di Melaka namun tiada sebarang rampasan atau sitaan.
SPRM sebelum ini melaporkan, jumlah sitaan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM143 juta, hasil daripada operasi yang dijalankan sejak minggu lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Kata beliau, bagi menyeleweng dana berkenaan, pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering). – MalaysiaGazette
















