Flotilla Madleen yang membawa bantuan ke Gaza dipintas Israel

ISTANBUL – Israel telah menempatkan dua aktivis antarabangsa dari kapal bantuan ke Gaza dalam kurungan seorang diri, menurut sebuah pertubuhan hak asasi Israel pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan pertubuhan hak asasi dan pusat perundangan Adalah memaklumkan bahawa sukarelawan dari Brazil Thiago Avila dan Ahli Parlimen Eropah berketurunan Perancis-Palestin Rima Hassan telah dipindahkan ke kemudahan penjara yang berasingan dan dikenakan kurungan bersendirian.

“Thiago Avila telah ditempatkan dalam pengasingan di Penjara Ayalon berikutan mogok lapar yang dimulakannya sejak dua hari lalu,” katanya.

“Rima Hassan pula diletakkan di Penjara Neve Tirza dalam keadaan tidak berperikemanusiaan selepas menulis “Free Palestine” pada dinding Penjara Givon.”

Kedua-duanya merupakan antara 12 aktivis antarabangsa yang ditahan pasukan keselamatan Israel di atas kapal bantuan Madleen pada Isnin.

Israel telah menghantar pulang empat aktivis ke negara asal masing-masing pada Selasa, termasuk aktivis iklim dari Sweden, Greta Thunberg.

Kapal berdaftar di Britain itu dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa ketika dalam pelayaran ke Gaza dalam usaha untuk memecahkan sekatan tentera laut Israel ke atas wilayah itu, di mana lebih 55,000 orang telah terbunuh dalam serangan kejam rejim Israel sejak Oktober 2023. -AGENSI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast