Projek MPD hadir pada masa yang tepat ketika dunia beralih ke arah dasar berasaskan data. - Foto Arkib MG

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal melangkah ke era baharu dalam pembangunan negara melalui pelaksanaan inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD) menerusi kolaborasi dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Data Raya dan Sains Data.

Projek ini memanfaatkan data daripada telefon mudah alih untuk menghasilkan statistik masa nyata (real-time) yang lebih terperinci, menyeluruh dan tepat  jauh lebih pantas berbanding kaedah tinjauan konvensional.

Langkah ini dijangka mengubah landskap perancangan dasar negara dan membuka ruang kepada pembangunan yang lebih responsif serta inklusif seperti ditegaskan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC).

Insiatif MPD direalisasikan ekoran keputusan Kabinet pada 19 April 2023 untuk MPD digunakan sebagai sumber data baharu dalam pengeluaran perangkaan negara.

Menurut, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ammar Redza Ahmad Rizal, penggunaan data telefon mudah alih berupaya menjadi pemangkin utama kepada pembangunan negara yang lebih berpaksikan bukti.

“MPD memberi kerajaan keupayaan untuk mengenal pasti keperluan rakyat dengan lebih tepat. Misalnya, dalam konteks jalur lebar mudah alih, data ini boleh menunjukkan kadar penembusan sebenar di peringkat negeri, daerah, hingga ke kawasan terpencil seperti mukim dan kampung orang asli.

“Ini membuka ruang kepada perancangan infrastruktur yang lebih saksama,” katanya.

MPD Buka Jalan ke Arah Pembangunan Inklusif

Dr Ammar menarik perhatian antara kelebihan paling ketara MPD ialah kemampuannya menjana maklumat terperinci untuk pelbagai sektor utama:

  • Pelancongan: MPD boleh mengesan pola pergerakan pelancong domestik dan asing, mengenal pasti destinasi popular, musim puncak, serta tahap penggunaan infrastruktur di lokasi tertentu. Data ini boleh digunakan untuk menambah baik kemudahan pelancongan serta merangka kempen promosi yang lebih berkesan berdasarkan trend sebenar.
  • Telekomunikasi & Digitalisasi: MPD membolehkan kerajaan memetakan liputan sebenar rangkaian mudah alih. Dengan itu, kawasan ‘blank spot’ dapat dikenal pasti dan diberikan keutamaan dalam peluasan akses internet.
  • Perkhidmatan Awam: Melalui corak pergerakan dan kepekatan populasi, agensi kerajaan boleh menentukan lokasi strategik untuk pembukaan klinik kesihatan, balai polis, sekolah atau pengangkutan awam yang lebih efektif.
  • Pengurusan Krisis: Dalam situasi bencana alam, banjir atau krisis kesihatan awam, MPD boleh digunakan untuk memahami keperluan logistik secara masa nyata serta mengesan pergerakan populasi yang terjejas.

Menurut Dr. Ammar, penggunaan data telefon mudah alih untuk tujuan statistik bukan perkara asing di peringkat antarabangsa. Negara-negara seperti Estonia, Indonesia, Brazil dan beberapa negara Eropah telah menggunakan pendekatan serupa untuk perancangan bandar, pelancongan dan pengurusan bencana.

Membina Dasar Berpaksikan Data

Bagi Dr. Ammar, MPD juga penting untuk memastikan dasar kerajaan tidak hanya berpandukan anggaran atau persepsi, sebaliknya berasaskan data sebenar yang mencerminkan realiti harian rakyat.

“Dengan MPD, kerajaan dapat merangka dasar yang lebih tepat sasaran  contohnya memastikan komuniti terpinggir tidak lagi ketinggalan dalam perancangan. Perkara ini mustahil dicapai tanpa data mikro yang teliti,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, pendekatan berasaskan data seperti ini dapat menjadikan perbelanjaan kerajaan lebih berkesan, mengelakkan pembaziran sumber dan membantu pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG).

Isu Privasi Perlu Diperhalusi Secara Profesional

Mengulas kebimbangan masyarakat terhadap privasi data, Dr. Ammar mengakui wujudnya keperluan untuk memperincikan maksud ‘awanama’ (anonymous).

Beliau berpandangan data yang mengandungi koordinat lokasi, waktu dan corak penggunaan walaupun tidak mengandungi nama individu secara langsung, tetap berpotensi dikenalpasti melalui gabungan kaedah tidak langsung.

Namun begitu, beliau berkata, rakyat tidak menolak pelaksanaan MPD secara keseluruhan.

Sebaliknya, kata beliau, kebimbangan ini menunjukkan perlunya kerajaan menambah baik aspek komunikasi dan melibatkan rakyat dalam proses pelaksanaan.

“Orang ramai tidak menolak penggunaan teknologi. Apa yang mereka mahu ialah jaminan bahawa data mereka dikendalikan dengan selamat dan penggunaan data itu dilakukan secara telus dan bertanggungjawab,” tambahnya.

MPD Perlu Didukung Kepercayaan Awam

Sebagai langkah ke hadapan, Dr. Ammar mencadangkan agar kerajaan:

  • Mengadakan rundingan awam dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk akademik, pakar teknologi, wakil industri dan NGO;
  • Memperjelas perbezaan antara anonimisasi dan pseudonimisasi kepada orang awam secara mudah difahami;
  • Menubuhkan jawatankuasa pengawasan bebas untuk menyemak penggunaan dan pengendalian data secara berkala;
  • Meneroka mekanisme pengecualian (opt-out) yang munasabah agar tidak menjejaskan kebolehpercayaan data tetapi tetap menghormati hak individu.

Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja akan meningkatkan sokongan rakyat, tetapi juga mencerminkan kematangan digital dan kebertanggungjawaban kerajaan dalam era transformasi data.

Projek MPD hadir pada masa yang tepat ketika dunia beralih ke arah dasar berasaskan data. Jika dilaksanakan secara telus dan beretika, ia boleh menjadi alat yang sangat berkuasa untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih cekap, saksama dan inklusif.

“Apa yang diperlukan bukan penolakan total terhadap MPD, tetapi pelaksanaan yang teliti, berasaskan kepercayaan, dan menjunjung prinsip hak rakyat,” tegas Dr. Ammar.

Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam era ‘data-driven governance’ tetapi kemajuan tidak boleh mengorbankan prinsip. Gabungan teknologi dan kepercayaan awam adalah kunci kejayaan sebenar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast