Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 peratus murid di Malaysia mengakui pernah menjadi mangsa buli siber manakala 13 peratus pula pernah membuli orang lain secara dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata, angka itu sangat membimbangkan dan mencerminkan betapa seriusnya ancaman dunia digital terhadap kesihatan mental dan keselamatan pelajar sekolah.

“Inilah keadaan yang sedang berlaku di persekitaran kita. Sebagai seorang ibu, nenda dan menteri yang bertanggungjawab ke atas lebih dua juta rakyat di Wilayah Persekutuan, saya sangat bimbang,” akuinya.

Dr Zaliha berkata demikian ketika merasmikan Program CyberSAFE in Schools untuk murid-murid India di SJK(T) dan SMK anjuran MITRA bersama CyberSecurity Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia di SJK(T) Thamboosamy Pillai di sini hari ini.

Program itu merupakan satu inisiatif penting dalam menangani cabaran keselamatan digital khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah kepada ancaman siber seperti buli siber, eksploitasi seksual dan pencerobohan privasi.

Berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) Interpl dan Ecpat pada tahun 2022, seramai empat daripada 100 orang remaja Malaysia berusia dalam lingkungan 12 hingga 17 tahun telah menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam tempoh setahun.

“Oleh itu, pendekatan pendidikan yang menyeluruh dan berstruktur adalah penting dalam membentuk daya tahan murid terhadap risiko siber.

“Undang-undang dan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi. Nilai hanya boleh dibentuk melalui pendidikan yang berterusan dan pendedahan yang jelas.

“Hal ini kerana kejadian di alam siber akan memberi kesan dan bukan sahaja menjejaskan tumpuan, tetapi juga boleh membawa kepada penderitaan jangka panjang,” tambahnya.

Program CyberSAFE akan dijalankan selama 15 bulan, melibatkan pelantikan Duta CyberSAFE di sekolah-sekolah di sembilan negeri, dengan pelbagai aktiviti kesedaran tentang penggunaan media sosial yang selamat, pengurusan data peribadi serta saluran bantuan untuk mangsa buli siber.

“Anak-anak hari ini adalah pemimpin masa depan. Jika mereka dibekalkan dengan ilmu, akhlak dan keberanian untuk berkata tidak kepada perkara yang memudaratkan, kita akan dapat membina masa depan digital yang lebih selamat dan berperikemanusiaan,” katanya.

Program tersebut merupakan anjuran bersama MITRA, CyberSecurity Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan sasaran lebih 80,000 pelajar dari 500 buah sekolah di seluruh negara dalam tempoh 15 bulan.

Pendekatan secara interaktif akan dijalankan selama dua jam di setiap sekolah dengan lantikan tiga hingga empat duta CyberSAFE dari kalangan murid.

Kesemua duta itu seterusnya akan dihimpunkan dalam satu Persidangan CyberSAFE® Peringkat Kebangsaan nanti dan diberikan pengiktirafan rasmi atas sumbangan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast