Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Hantaran Facebook milik Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang didakwa hilang secara misteri sejak Isnin lalu disahkan tidak digodam oleh mana-mana pihak.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selepas mendapat penjelasan daripada  Meta Platforms Inc hari ini.

“Meta hari ini yang memaklumkan ada seseorang mempunyai akses ke akaunnya dan sebenarnya telah membuang semuanya (hantaran).

“Nampaknya tiada motif lain tetapi Meta telah menunjukkan bahawa mereka sedang membantu mengembalikan posting (hantaran) tersebut.

“Kadang-kadang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau saya juga akan dihubungi individu mahupun organiasi yang terkesan dengan masalah hantaran media sosial mereka.

“Jadi ini bukan sesuatu (perkara) yang kami lakukan khas untuk Akmal Nasir (sahaja) tetapi sebenarnya ramai orang alami masalah sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) 2025 di bu negara, hari ini .

Semalam, Fahmi dilaporkan berkata akan menghubungi pihak Meta bagi mendapatkan penjelasan serta memulihkan semula hantaran Facebook milik Ahli Parlimen Johor Bahru  itu.

Beliau turut meminta syarikat yang mengendalikan platform Facebook, Instagram dan WhatsApp itu menyiasat dan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

Terdahulu, Akmal memaklumkan semua hantaran Facebook miliknya sejak akhir 2022 hilang secara tiba-tiba yang mana perkara tersebut disedarinya tiga hari lalu.

Menurutnya, perkara itu dikesan apabila hantaran berkaitan kempen pemilihan PKR 2025 lenyap beberapa jam lebih awal sebelum kesemua kandungan lain turut hilang menjelang petang hari sama.

Dalam pada itu, Akmal tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast