KUANTAN – Seorang mekanik berputih mata apabila mengalami kerugian RM220,000 selepas terjerat dengan cinta wanita Jepun menerusi aplikasi Facebook di Rompin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa merupakan seorang lelaki berusi 58 tahun itu telah membuat pemindahan 50 transaksi kepada ’kekasihnya’ hasil daripada wang simpanan.
”Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima laporan Polis dari Daerah Rompin berkenaan mangsa mengalami kerugian setelah terpedaya dengan penipuan Love Scam di laman Facebook.
”Sebulan kemudian pengadu dimaklumkan oleh wanita berkenaan bahawa terdapat kiriman barangan dari Turki ke Jepun atas namanya, tetapi telah ditahan di pejabat Imegresen di Turki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Yahaya suspek meminta pinjaman wang dari pengadu untuk mendapatkan semula barangan tersebut.
Malah wanita berkenaan menjanjikan pulangan dua kali ganda kepada mangsa setelah barangan berkenaan diterima.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu yang tidak dikenal pasti.
”Jangan terpedaya dengan penipuan tersebut, juga jangan melayan mereka yang tidak dikenali di media sosial,” tegasnya.
Orang ramai dinasihatkan agar menyemak dahulu sebelum membuat transaksi kewangan serta sahkan nombor telefon serta akaun di https://semakmule.rmp.gov.my. – MalaysiaGazette
















