Bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas dibebaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther memberi `kata dua’ kepada polis sama ada mengemas kini laporan yang dibuatnya dalam tempoh seminggu atau menghadapi tindakan undang-undang.

Muhammed Yusoff membuat laporan polis tahun lalu bagi menafikan penglibatannya dalam pemilikan dadah dan pistol atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Firma guaman Law Practice of Rafique yang mewakili Muhammed Yusoff dalam suratnya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menuntut maklumat terkini dan tindakan yang telah diambil bagi menyiasat aduan anak guamnya yang mendakwa diperangkap.

Muhammed Yusoff, 32, sebelum ini konsisten mendakwa diperangkap dan menjadi mangsa penganiayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 78, dan bekas Setiausaha Politik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Kami menulis untuk memperolehi jawapan rasmi dari pihak Tan Sri dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) samada penama Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dan Farhash Wafa Salvador yang dinamakan dan/atau dimasukkan dalam laporan anak guam kami
itu telah dipanggil untuk siasatan dan/atau rakaman percakapan atau tidak.

“Kami menunggu maklum balas dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat ini.

“Sekiranya tiada jawapan diberikan, atau jawapan gagal menangani isu dibangkitkan dalam surat ini, anak guam kami berhak mengambil tindakan undang-undang selanjutnya,” kata firma itu dalam kenyataannya hari ini.

Bekas Pembantu Penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther (tengah) keluar dari bilik bicara selepas dibebaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025. (GAMBAR FAIL)

Menurut firma berkenaan, surat kepada Ketua Polis Negara bertarikh hari ini manakala laporan polis dibuat Muhammed Yusoff pada 12 September tahun lalu.

Ujar firma berkenaan, anak guamnya telah berada dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh selama sembilan bulan dan 10 hari sebelum dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi semalam.

Kenyataan itu selanjutnya menyatakan, ketika perbicaraan, laporan polis itu telah dieksibitkan dan juga diletakkan kepada dua pegawai penyiasat masing-masing bagi kes senjata dan dadah.

“Namun tiada jawapan tuntas diperolehi mengenai status siasatan laporan ini.

“Selanjutnya sila maklumkan kepada kami status dan langkah-langkah yang telah diambil oleh pasukan PDRM mulai 12 September 2024 mengenai laporan ini,” ujar kenyataan itu.

Muhammed Yusoff merupakan cucu kepada aktivis terkenal di Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris.

Semalam, Muhamed Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) tanpa dipanggil membela diri atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menyampaikan keputusan itu berkata, kegagalan pihak polis menyiasat dakwaan Muhammed Yusoff telah diperangkap, sama ada bersifat benar atau palsu, telah memprejudiskan haknya untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Mahkamah berpuas hati, dakwaan berkenaan dibuat melalui dua rakaman percakapan yang diberikan kepada polis pada 8 dan 10 September 2024. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast