Mohd Soba (duduk, kanan) pada sidang media di Subang Jaya hari ini.

SUBANG JAYA – Penduduk Kampung Bukit Lanchong dekat sini menggesa kerajaan Selangor mengkaji semula keperluan pembinaan projek pangsapuri  di kawasan itu.

Wakil penduduk kampung, Mohd Soba Md Jauhari berkata, cadangan pembinaan pangsapuri  tersebut dilihat mengancam kelestarian kampung selain  berisiko mencetuskan beberapa masalah khususnya kesesakan lalu lintas dan banjir kilat.

“Dengan pertambahan penduduk baharu nanti kami menjangkakan akan berlaku peningkatan trafik yang ketara seterusnya memberi impak perjalanan penduduk.

“Kami juga bimbang masalah banjir kilat akan menjadi serius. Sekarang ini pun, selepas sejam dua hujan mesti berlaku banjir kilat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu Mohd Soba berkata, tiada rundingan awam dilakukan dengan penduduk setempat mengenai projek pembinaan tersebut.

“Kami kesal tiada rundingan awam melibatkan penduduk setempat penduduk tidak dimaklumkan lebih awal dan kami tidak diberi ruang menyatakan kebimbangan sebelum projek ini dijalankan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penduduk Kampung Bukit Lanchong turut mempersoalkan kelulusan projek pembinaan pangsapuri tersebut yang mencurigakan kerana sehingga kini tiada dokumen yang ditunjukkan kepada sebagai bukti kukuh.

Malah surat bantahan dan mohon untuk campur tangan yang diberikan kepada pejabat Menteri Besar Selangor termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun projek berkenaan tetap akan diteruskan.

“Saya ingin memohon campur tangan daripada SPRM untuk menyiasat proses kelulusan projek pembinaan pangsapuri di kampung ini.

“Kelulusan dikatakan ada tapi tidak ditunjukkan kepada kami. Kalau wujud mungkin ada salah guna kuasa.

“Surat sudah dihantar ke SPRM, pejabat MB, Datuk Bandar, Pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja Parlimen. Selepas itu kami dipanggil berbincang tapi keputusannya mengecewakan apabila projek itu tetap  diteruskan,” katanya lagi.

“Oleh itu kami menggesa pihak berkuasa, PBT yang terlibat untuk membatalkan atau menangguhkan projek ini sehingga satu perbincangan terbuka sesi soal jawab dan penerangan diadakan bersama-sama penduduk,” ujarnya.

Menurutnya, penduduk Kampung Bukit Lanchong tidak menolak pembangunan namun kampung berkenaan ia perlu dilaksanakan secara adil, telus dan menghormati warisan kampung.

“Kami mahu identiti dan ketenangan kampung dipelihara. Pastikan pembangunan mengambilkira kepentingan rakyat,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast