KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan kekal dengan keputusan meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi di sebalik harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau kekal dalam barisan Kabinet.
Menerusi hantaran terbaharu di laman sosial Facebook beliau hari ini, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau memasuki pejabatnya di Kementerian Ekonomi buat kali terakhir semalam dan hari ini untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.
Dalam masa sama, beliau mengambil kesempatan berterima kasih dan memperkenalkan beberapa individu yang banyak membantunya mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi.
Menurut Rafizi, individu berkenaan merupakan pegawai-pegawai dasar dalam pasukannya yang dipujuk beliau untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabatnya.
“Daripada cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, JSSEZ, NETR, kepada gaji progresif sehinggalah RMK13, mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan.
“Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing,” katanya.
Antara individu berkenaan seperti diperkenalkan Rafizi ialah Dr. Azraai Bahari Nasruddin, doktor pakar endokrinologi lulusan University of Cambridge, dengan lulusan tambahan dalam Informatics dari UCL (Ijazah Kelas Pertama) yang berkhidmat lama di United Kingdom sebelum kembali ke Malaysia pada 2014.
Selain itu, ialah Benjamin Quek iaitu lulusan perbankan dan kewangan dari Monash University dan MSc dalam Applied and Computational Mathematics, John Hopkins University yang sebelum ini merupakan seorang pengurus dana.
Individu lain ialah James Chai, pelajar terbaik undang-undang dari University of London dan sarjana undang-undang dari University of Oxford dengan Ijazah Kelas Pertama yang sebelum ini bekerja dalam bidang undang-undang dan dalam bidang teknologi, yang juga seorang penulis buku.
Seorang lagi ialah Ismat Qayyum, lulusan PPE (Politics, Philosophy and Economy) dari London School of Economics (LSE) dengan Ijazah Kelas Pertama yang sebelum ini bekerja di sektor perbankan.
Individu terakhir ialah Haqimi Zamri, lulusan Politik dan Hubungan Antarabangsa dari University of Nottingham, yang sebelum ini mengusahakan perusahaan sosial pada usia yang muda.
“Saya banyak belajar dari mereka, mungkin lebih dari mereka belajar dari saya,” kata Rafizi.
Bagaimanapun, Rafizi langsung tidak menyentuh mengenai hasrat Anwar semalam supaya beliau menyertai semula Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau masih memberi masa kepada Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.
Perdana Menteri berkata, jika boleh beliau mahu Rafizi dan Nik Nazmi menyertai semula Kabinetnya.
” … biar mereka berfikir …. Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet). Surat (peletakan jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan) peletakan jawatan mereka,” katanya seperti dilaporkan media.
Ketika ini, Rafizi dan Nik Nazmi sedang bercuti selepas menghantar surat peletakan jawatan masing-masing susulan kekalahan mereka pada pemilihan PKR yang berlangsung bulan lalu.
Berdasarkan surat peletakan jawatan mereka, tugas Rafizi selaku Menteri Ekonomi akan berakhir berkuat kuasa 17 Jun ini, manakala Nik Nazmi berkuat kuasa 4 Julai depan. – MalaysiaGazette
















