KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak berminat untuk memenjarakan individu tertentu yang terbabit rasuah.
Sebaliknya, beliau berkata, ia lebih kepada usaha untuk mendapatkan semua wang terbabit bagi memanfaatkan rakyat.
Katanya, budaya memunggah kekayaan negara oleh tokoh politik dan ahli korporat seharusnya dihentikan.
“Bagaimana negara mengizinkan puluhan bilion dipunggah oleh beberapa orang tokoh politik dan koporat dan kemudian begitu sahaja dilupakan, di mana pengajarannya, apa makna kuasa.
“Saya bukan minat nak penjarakan orang, saya nak rampas balik wang itu supaya kembali kepada rakyat. Ini minat saya, dan saya nak hentikan budaya ini dan memang saya tahu yang dicari itu hanya hal-hal titik bengik yang boleh mengasingkan dan meminggirkan isu pokok.
“Negara ini hanya akan selamat kalau kita selesaikan masalah pokok, soal pengurusan kewangan negara, baru kita boleh bicara tentang peruntukan tambahan, naikkan mutu sekolah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025, di sini hari ini.
Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ ia menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, terutama rantau Asean. – MalaysiaGazette
















