HONG KONG – Harga minyak merosot pada hari Isnin apabila kebimbangan terhadap konflik Timur Tengah yang lebih meluas mula reda, walaupun Israel dan Iran terus saling melancarkan peluru berpandu untuk hari keempat dan saling mengugut dengan serangan selanjutnya.
Harga emas pula melonjak semula menghampiri paras tertinggi sepanjang masa kerana pelabur beralih kepada aset selamat, manakala pasaran ekuiti bercampur-campur dengan harapan konflik tidak merebak.
Pelabur turut bersiap sedia menghadapi mesyuarat bank pusat utama minggu ini, khususnya Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank of Japan (BoJ), serta rundingan perdagangan dengan Washington bagi mengelakkan tarif tinggi yang dirancang oleh Presiden Donald Trump.
Serangan mengejut Israel terhadap tapak ketenteraan dan nuklear Iran pada hari Jumaat yang membunuh beberapa komander dan saintis kanan menyebabkan harga minyak mentah melonjak sehingga 13% pada satu ketika akibat kebimbangan terhadap bekalan dari rantau tersebut.
Namun, kebimbangan itu kelihatan semakin reda dengan harga minyak kembali menurun dalam dagangan Asia.
Penganalisis memberi amaran bahawa lonjakan harga minyak boleh mencetuskan inflasi global sekali lagi, menjejaskan usaha berterusan kerajaan dan bank pusat dalam mengawalnya serta menimbulkan kebimbangan terhadap kesan ke atas ekonomi yang sudah pun rapuh.
“Kesan sampingan daripada harga tenaga yang tinggi ialah pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan peningkatan inflasi utama.
“Walaupun bank pusat mungkin cuba mengabaikan lonjakan sementara dalam harga tenaga, jika ia kekal tinggi dalam jangka masa panjang, ia boleh mendorong peningkatan inflasi teras apabila perniagaan memindahkan kos pengangkutan dan pengeluaran yang lebih tinggi kepada pengguna.
“Ini akan menjejaskan keupayaan bank pusat untuk menurunkan kadar faedah dalam usaha menampan kelembapan pertumbuhan yang dijangka akibat tarif Trump, satu lagi pemboleh ubah yang perlu dipertimbangkan Fed dalam mesyuarat kadar faedah minggu ini,” kata Tony Sycamore, penganalisis pasaran di IG.
Pengarah penyelidikan ekuiti Morningstar, Allen Good berkata, bekalan minyak di pasaran masih mencukupi, dengan OPEC berhasrat meningkatkan pengeluaran dan permintaan kekal lembap.
Pertumbuhan pengeluaran AS lembap, tetapi boleh meningkat semula jika harga kekal tinggi. Selain itu, perang berskala besar dilihat tidak mungkin berlaku. Pentadbiran Trump telah menyatakan ia masih komited kepada rundingan dengan Iran.
“Akhirnya, asas penawaran dan permintaan akan menentukan harga, dan ia tidak menunjukkan keperluan untuk harga yang jauh lebih tinggi. Walaupun premium risiko global mungkin meningkat, ia hanya akan mengekalkan harga sedikit lebih tinggi berbanding paras biasa tahun ini,” ujarnya.
Pasaran Tokyo ditutup 1.3% lebih tinggi, disokong oleh kelemahan yen, manakala Hong Kong berbalik mencatat keuntungan selepas kerugian awal. Shanghai, Seoul dan Wellington turut mencatat peningkatan, sementara Taipei, Jakarta, Bangkok dan Manila merosot. Sydney pula tidak banyak berubah.
Pasaran di London, Paris dan Frankfurt semuanya dibuka lebih tinggi.
Harga emas aset selamat pilihan ketika ketidaktentuan meningkat kepada sekitar AS$3,450 satu auns, hampir mencecah paras tertinggi sepanjang masa AS3,500.
Reaksi pasaran terhadap data keluaran perindustrian China yang lebih perlahan daripada jangkaan adalah terhad, walaupun jualan runcit mengatasi ramalan.
Sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada yang bermula pada Ahad turut menjadi perhatian, dengan isu krisis Timur Tengah dan dasar perdagangan menjadi topik utama susulan dasar tarif agresif Trump.
Pelabur juga menantikan mesyuarat dasar bank pusat, dengan Fed dan BoJ menjadi tumpuan utama.
Kedua-duanya dijangka mengekalkan kadar semasa, namun kenyataan mereka akan diperhatikan rapat untuk petunjuk mengenai rancangan kadar faedah, terutama ketika Fed berada di bawah tekanan daripada Trump untuk menurunkan kadar.
Mesyuarat Fed “akan mendapat perhatian pasaran paling besar,” kata Chris Weston dari Pepperstone.
“Fed dijangka kekal berhati-hati memandangkan banyak ketidaktentuan, dan kenyataan rasmi dijangka menekankan bahawa dasar monetari berada di tempat yang sesuai buat masa ini,” katanya. – Agensi
















