KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) hari ini menyerahkan memorandum kepada universiti ini bagi menyuarakan kebimbangan terhadap gaya pentadbiran kesatuan yang kini disifatkan tidak inklusif dan tidak mengamalkan budaya musyawarah.
Eksekutif Umumnya, Akil Shamil Mohamed mendakwa, terdapat kecenderungan menyalahgunakan KMUM sebagai alat agenda peribadi dan politik, tanpa mengambil kira kepentingan menyeluruh mahasiswa UM.
Beliau turut menegaskan, tindakan Suara Siswa dan UMANY dalam mencampuri isu pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang untuk penanaman durian Musang King secara haram adalah tidak bertanggungjawab dan membahayakan nama baik institusi UM.
Malah, ia turut membuka ruang kepada sentimen 3R (kaum, agama, raja) yang sensitif serta boleh mencetuskan ketegangan awam.
Lantaran itu, KMUM menyerahkan memorandum menggesa pihak pentadbiran tertinggi Universiti Malaya untuk campur tangan secara langsung dan tegas terhadap mana-mana individu atau organisasi pelajar yang menyokong tindakan tidak sah dan mempertikaikan keputusan mahkamah serta titah Sultan Pahang.
Mereka juga menekankan perlunya tindakan disiplin serta undang-undang yang sewajarnya diambil segera agar maruah dan kredibiliti institusi pengajian tinggi tidak terus tercemar oleh tindakan politik yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, penyerahan memorandum ini mencerminkan hasrat majoriti mahasiswa/i Universiti Malaya yang mahukan kepimpinan Kesatuan Mahasiswa yang benar-benar inklusif, berintegriti dan berfokuskan kepada pembangunan mahasiswa, bukan diselewengkan demi kepentingan politik sempit.
Delegasi turut menegaskan bahawa ini bukan serangan peribadi, tetapi satu usaha untuk mengembalikan maruah dan fungsi asal Kesatuan Mahasiswa.
Sementara itu, Universiti Malaya mengesahkan telah menerima memorandum yang diserahkan oleh sekumpulan wakil daripada Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, hari ini.
Menurutnya, pihak pengurusan universiti akan meneliti kandungan memorandum tersebut secara menyeluruh dan mengambil pendekatan yang konstruktif dalam menanganinya.
Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan melalui saluran yang sewajarnya dan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Universiti Malaya komited untuk terus menjadi medan intelektual yang terbuka, inklusif dan progresif, demi melahirkan graduan yang berilmu, beretika serta bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara. – MalaysiaGazette
















