KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk merombak Kementerian Ekonomi berikutan peletakan jawatan menterinya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menghargai segala sumbangan dan perkhidmatan Rafizi sepanjang menggalas portfolio tersebut dan keputusan pengganti atau penstrukturan akan ditentukan pada masa yang sesuai.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk kita rombak apa-apa setakat ini dan saya ucap selamat maju jaya kepada Rafizi yang telah berkhidmat begitu baik sebagai Menteri Ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Persidangan Energy Asia 2025, di sini, hari ini.
Anwar yang diminta mengulas status Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut mengumumkan peletakan jawatan pada 28 Mei lalu berkata, beliaumengambil pendekatan berhati-hati dan memberi ruang kepada semua pihak sebelum membuat keputusan muktamad.
“Saya selalu tunggu, beri peluang, berfikir dan berkenan. Saya beri pandangan saya, kalau boleh teruskan khidmat.
“Tapi masih ada masa lagi sebelum tempoh (lantikan) beliau tamat,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada keputusan berkaitan akan dibuat esok, Perdana Menteri menafikan perkara itu dan menyatakan bahawa tarikhnya adalah pada awal Julai.
“Bukan esok kerana awal sangat. Saya periksa tarikh. Jadi kita beri ruang.
“Tak perlulah gopoh-gapah nak suruh terima sedangkan tarikhnya belum sampai. Lagipun kita perlukan khidmat yang baik,” tambahnya.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi yang mengumumkan peletakan jawatannya berkata, ia berkuat kuasa 4 Julai ini.
Pengumuman itu telah dibuat kira-kira tiga jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun. – MalaysiaGazette

















kem ekonomi satu pembaziran wang rakyat. hanya diwujudkan untuk membalas budi. fungsi dan manfaat kepada rakyat kabur dan tidak ada keberkatan. elok tutup terus kerana peranannya di curi dari fungsi kementerian lain. sedihnya bila dulu mengata kerajaan lain tapi sebenarnya lebih teruk lagi. tapi boleh tubuh kementran formula .