MELAKA – Seorang pekerja lelaki warga Bangladesh direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun di rumahnya di Taman Malim Jaya, di sini, Ahad lalu.
Perintah reman terhadap pekerja kontrak berumur 40 tahun itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari bermula hari ini sehingga 23 Jun ini.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Sementara itu menurut sumber, kejadian terbongkar kira-kira 4 petang Ahad lalu apabila mangsa yang sedang bermain di ruang tamu rumah tiba-tiba berlari ke arah pengadu yang juga ibunya berusia 41 tahun dalam keadaan menangis.
“Kanak-kanak itu memberitahu ibunya dia mengalami sakit di bahagian kemaluan akibat perbuatan suspek yang ketika itu diupah untuk melakukan kerja kerja pemasangan jaring di ruang tamu rumah pengadu.
“Mangsa mendakwa pekerja Bangladesh itu menyuruhnya menjilat kemaluan suspek selain lelaki berkenaan juga didakwa telah membuka seluar mangsa dan cuba merogolnya.
“Suspek juga dipercayai telah memasukkan jari tangan dan ibu jari kakinya ke dalam kemaluan mangsa,” katanya.
Tambahnya bertindak hasil aduan, sepasukan anggota polis dari Cawangan D9 dan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek di rumahnya di Batu Berendam, di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Suspek tidak mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati negatif dadah,” katanya. – MalaysiaGazette.
















