KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki bertopengkan ski mask hitam disyaki terlibat kes tembakan di hadapan kedai serbaneka sebuah pusat beli belah di Cheras, di sini malam tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur , Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.48 tengah malam.
“Semakan mendapati, sekumpulan individu yang bertopengkan ski mask hitam telah datang dengan menaiki sebuah kenderaan Perodua Alza.
“Dalam kejadian itu, dua lelaki tempatan berusia 40-an telah terkena tembakan dan kedua-dua mangsa disahkan mati di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sehingga kini polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi hotline polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelasnya.
Terdahulu media melaporkan, dua lelaki maut ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi.
Ketika kejadian sekitar jam 12.15 malam, kedua-dua mangsa dilaporkan sedang menuju ke arah kereta yang diletakkan di perkarangan pusat beli-belah berkenaan.
Menurut saksi, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa yang pada ketika itu berada di bahagian luar perkarangan pusat beli-belah. – MalaysiaGazette
















