TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, memberi amaran kepada Amerika Syarikat agar tidak mengugut Iran.
Beliau menegaskan, rakyat Iran akan terus berdiri teguh sama ada berdepan perang mahupun perdamaian yang dipaksakan.
“Rakyat Iran teguh melawan perang yang terpaksa, sebagaimana ia akan teguh melawan damai yang dipaksakan. Rakyat Iran tidak akan tunduk kepada sesiapa jika berdepan paksaan,” kata beliau dalam satu mesej yang disiarkan secara langsung kepada rakyat Iran pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden AS, Donald Trump, mengugut Iran berhubung program nuklear dan peluru berpandunya, sambil menggesa negara itu supaya “menyerah tanpa syarat”.
Pada masa sama, Washington turut memberi isyarat ia mungkin menyertai serangan Israel yang sedang berlangsung ke atas Iran.
Ayatollah Khamenei memberi amaran rakyat Iran tidak akan membiarkan sebarang bentuk paksaan dari luar — sama ada dalam bentuk ketenteraan atau diplomatik untuk mematahkan keteguhan negara itu. – Agensi















