Foto FB KDN FC.

KUALA LUMPUR – Badan bebas First Instance Body (FIB) menjelaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC tidak berdepan tunggakan gaji bagi pasukan utama Liga Super setakat 31 Disember 2024.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, fakta itu diperoleh selepas FIB menerusi Unit Pelesenan Kelab membuat semakan dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung isu tunggakan gaji terbabit.

Bagaimanapun, Sheikh Mohd Nasir mengesahkan sudah mengemukakan dokumen sokongan mengenai pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun (B-23) menerusi surat persetujuan bersama ditandatangani semua pemain terbabit.

“Merujuk kepada Artikel F.04 di bawah Kriteria Kewangan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024/25, setiap pemohon lesen wajib membuktikan bahawa tiada tunggakan bayaran atau mempunyai pelan penyelesaian bayaran tunggakan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak terhadap pekerja serta pihak berkuasa seperti LHDN, KWSP, PERKESO dan EIS setakat 31 Disember 2024.

“Dokumen sokongan ini jelas memenuhi keperluan seperti yang ditetapkan dalam Artikel F.04 namun Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau secara berterusan pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah B-23 tahun ini.

“Berhubung tunggakan kepada agensi kerajaan, KDN FC sudah mengemukakan surat permohonan pelan bayaran ansuran kepada pihak KWSP dan PERKESO dengan cop rasmi oleh kedua-dua agensi terbabit,” katannya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sheikh Mohd Nasir turut mengarahkan Unit Pelesenan Kelab MFL untuk memantau pematuhan terhadap pelan ansuran itu melalui penghantaran bukti resit bayaran secara berkala sehingga keseluruhan tunggakan diselesaikan.

“FIB ingin menegaskan bahawa jika terdapat sebarang isu berhubung semua penyerahan atau sebarang pengisytiharan yang tidak tepat kepada CLA MFL bagi tujuan memperoleh lesen untuk musim 2025-2026, siasatan boleh dimulakan terhadap perkara terbabit,” katanya.

Sebelum ini, pemain KDN FC, Jasmir Mehat mempersoalkan keputusan badan pengendali liga itu memberikan lesen kebangsaan penuh kepada pasukan dari Pantai Timur itu.

Dia  mendakwa kelab berkenaan masih berdepan isu tunggakan gaji dan caruman KWSP yang belum diselesaikan.

Jasmir berkata, walaupun ada bayaran KWSP dimasukkan baru-baru ini, namun dia mendakwa jumlah yang diterima sebahagian pemain tidak menyelesaikan tunggakan sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast