Antara penyokong Pertubuhan Sister In Islam (SIS) yang hadir bagi mendengar keputusan mengenai rayuan badan itu terhadap status sesat yang difailkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ketika di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 JUN 2025.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung pertikaian menyentuh fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi dan Rayuan yang memutuskan sebaliknya.

Rayuan itu dibenarkan setakat mana ia berkait dengan pemakaian fatwa tersebut kepada pertubuhan dan institusi dan setakat mana fatwa tersebut menyentuh
agensi dan kuasa agensi Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/06/19/rayuan-sis-forum-batal-fatwa-diputuskan-mahkamah-persekutuan-pagi-ini/

Beliau yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mendengar penghujahan pihak-pihak pada 2 Disember tahun lalu.

SIS Forum merayu dalam usaha mendapat perintah mahkamah tertinggi negara untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan 12 tahun lalu yang melabelnya sebagai sesat dan menyeleweng.

Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme, sebagai menyimpang daripada Islam.

Semakan kehakiman itu yang difailkan pada Oktober 2014 bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2020 serta dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2023.

Dalam semakan kehakiman itu, mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast