KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli hairan dan kecewa terhadap kelewatan pendakwa raya yang masih gagal menyediakan dokumen penting bagi meneruskan perbicaraan kes pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Persoalan ini dilontarkan oleh Rafizi selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi membenarkan permohonan Najib untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd kerana pihak pendakwa belum bersedia memulakan perbicaraan.
“Saya benar-benar tidak faham mengapa pihak pendakwa raya mengambil masa selama enam tahun sejak 2019 untuk menyiapkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan bagi memulakan perbicaraan,” katanya dalam kenyataan.
Rafizi berkata, keputusan DNAA tersebut walaupun sah dari sudut undang-undang tetap menimbulkan persoalan besar tentang tahap kesediaan dan kecekapan pihak pendakwa raya dalam menguruskan kes-kes berprofil tinggi.
“Saya menghormati hak Datuk Seri Najib untuk memohon DNAA memandangkan beliau telah menunggu sejak 2019. Saya juga menghormati keputusan Yang Arif Hakim K. Muniandy yang membenarkan permohonan itu berdasarkan keadaan semasa.
“Namun, persoalan pokoknya ialah mengapa sehingga ke hari ini, pihak pendakwa raya masih tidak dapat mengumpulkan dan mengemukakan dokumen bukti yang sepatutnya sudah lama tersedia,” soalnya.
Rafizi turut membangkitkan kes tersebut berkait rapat dengan skandal SRC yang telah pun melalui proses mahkamah sebelum ini dan menyaksikan Najib dijatuhi hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Persekutuan.
“Daripada pengalaman saya mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sejak lebih satu dekad lalu, kes SRC merupakan antara yang paling jelas dari segi bukti aliran wang. Jadi, bagaimana mungkin kes yang punya dokumen lengkap sebegitu masih tidak dapat dimulakan perbicaraan?
“Ini kelemahan yang ditunjukkan oleh pihak pendakwa raya bukan sahaja mencacatkan proses keadilan, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
“Rakyat Malaysia tidak mahu melihat kes ini ‘senyap’ begitu sahaja hanya kerana pendakwa raya gagal menyediakan dokumen. Ini soal integriti sistem keadilan, bukan semata-mata isu teknikal,” tegasnya.
Rafizi juga menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) tampil memberikan penjelasan dan memastikan pertuduhan terhadap Najib difailkan semula dalam masa terdekat berserta segala dokumen serta bukti yang lengkap.
“Saya menyeru agar pihak pendakwa segera mengesahkan mereka akan memfailkan semula pertuduhan terhadap Najib dan memastikan dokumen bukti lengkap dikemukakan supaya perbicaraan dapat berjalan tanpa penangguhan lagi.
“Saya akan terus memantau perkembangan kes ini sebagai Ahli Parlimen dan anggota Kabinet bagi memastikan ia tidak terlepas daripada perhatian awam.Ini bukan soal peribadi atau politik. Ini soal keadilan dan tanggungjawab terhadap rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Najib dilepas tanpa dibebaskan, pendakwaan gagal bersedia untuk kes sejak 2019
















