BUTTERWORTH – Seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun yang juga orang kelainan upaya (OKU) berjaya diselamatkan pihak polis selepas kereta yang dinaikinya dilarikan suspek dari sebuah bengkel kenderaan di Jalan Penaga dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 6 petang, pi hai polis nenerima panggilan daripada seorang lelaki warga emas memaklumkan cucunya yang juga OKU bisu itu dilarikan semasa berada di dalam sebuah kereta jenis Toyota Corolla berwarna coklat yang diletakkan dalam keadaan enjin masih hidup ketika di bengkel berkenaan.
Difahamkan, datuk mangsa dilaporkan meninggalkan kenderaan itu seketika untuk berurusan di bengkel berkenaan sebelum mendapati suspek melarikan kereta tersebut.
MalaysiaGazette difahamkan, kurang sejam lelaki tersebut melaporkan kejadian kepada pihak polis, pasukan cegah jenayah dari Balai Polis Butterworth berjaya mengesan kereta tersebut di Taman Mesra, Bagan Lalang di sini.
Susulan itu, pihak polis menahan suspek berusia lingkungan 60-an yang dipercayai mempunyai masalah mental serta menyelamatkan kanak-kanak tersebut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan.
“Kita akan keluarkan kenyataan media berhubung kes ini,” katanya ringkas.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati rata-rata penduduk Kampung Bagan Lalang di sini, mendakwa suspek kurang siuman serta sering menimbulkan kekecohan di kawasan berkenaan.
Menurut seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Lee, suspek baru saja keluar dari hospital seminggu lepas dan menimbulkan kekecohan dengan mengambil minuman milik pelanggan di kedai makan berhampiran.
“Memang sejak dulu, dia suka buat kecoh dan selalunya tak lama dia di luar (kampung) mesti buat hal dan ditangkap polis sebelum ditempatkan di hospital bagi rawatan lanjut.
“Selain itu, penduduk di sini memang tau dah dia kalau nampak kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan enjin hidup, akan dilarikan sebelum tinggalkannya apabila kehabisan petrol,” katanya.
Seorang lagi penduduk mendakwa suspek sering berkeliaran di sekitar kawasan kedai makan dan kadang-kala mengganggu pelanggan.
“Kami memang takut bila dia keluar. Dia suka kacau orang dan buat bising. Tapi sebab dia orang tak siuman, ramai yang tak berani nak tegur,” katanya. – MalaysiaGazette
















