Anwar Ibrahim Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2025.

PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya mengurangkan jumlah hutang negara sebanyak RM20 bilion sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2020, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, bermula dengan hutang berjumlah RM100 bilion, kerajaan kini menyasarkan jumlah itu dapat dikurangkan kepada RM80 bilion tahun ini.

Menurut beliau, pengurangan hutang negara memerlukan strategi jangka panjang menerusi pengurusan berhemah dan berperingkat oleh kerajaan.

“Hutang negara mula menurun dari 2022 (RM100 bilion), 2023 (RM90 bilion), 2024 (RM85 bilion) dan unjuran tahun ini adalah RM80 bilion.

“Maknanya, sejak kita ambil alih, kita sudah turun hutang RM20 bilion,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar juga memberi jaminan usaha yang berterusan dilakukan untuk menurunkan kadar defisit fiskal negara daripada 5.5 peratus kepada unjuran terbaharu 3.8 peratus tahun ini.

“Bagi saya, yang pertama tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan ekonomi untuk melaksanakan dasar yang kita yakin baik, itu yang penting.

“Kedua, dengan itu, ada keyakinan. Bila ada keyakinan, dia menyelesaikan banyak masalah soal hasil negara, soal peluang pekerjaan, soal pembangunan keseluruhannya,” katanya.

Pada Mac lalu, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan terus komited dalam usaha mengurangkan defisit fiskal dengan unjuran 3.8 peratus pada 2025 sejajar komitmen utama kerajaan mengurangkan kadar defisit secara berperingkat dan konsisten daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada lima peratus pada 2023 dan seterusnya 4.1 peratus tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast