KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida Malaysia) mendesak pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggugurkan perkataan “Islam” daripada nama pertubuhan atau syarikat Sisters in Islam (SIS) kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat awam.
Malah, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau mana – mana agensi kerajaan yang berkuasa dalam meluluskan penubuhan sesuatu syarikat, pertubuhan atau badan agar mengetatkan syarat-syarat penggunaan perkataan “Islam” supaya tidak disalah guna oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, berniat jahat atau dengan sengaja hendak mengelirukan pemikiran umat Islam di Malaysia.
Presidennya, Mohd Foad Mat Isa menegaskan, perkataan “Islam” tidak seharusnya digunakan oleh mana – mana entiti yang menyanggah fatwa sah atau menyebar fahaman bertentangan dengan syariat Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pada masa sama, Perkida mendesak agar Majlis Raja-Raja memperkukuh bidang kuasa Majlis Agama Negeri dan institusi fatwa di seluruh negara.
Kerajaan Persekutuan dan negeri juga perlu segera menyelaras semula undang-undang dan akta supaya tidak berlaku kekeliruan antara kuasa syariah dan kuasa persekutuan.a.
“Perkida juga memperingatkan masyarakat bahawa kebebasan bersuara tidak bermakna kebebasan mencabar hukum Allah, dan hak asasi tidak boleh digunakan sebagai perisai untuk menyebar ajaran yang memesongkan aqidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Foad menambah, Perkida menjunjung kasih dan berdiri teguh bersama titah Sultan Selangor, selaku Ketua Agama Islam negeri Selangor dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam yang menegaskan bahawa fatwa terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama kekal sah dan wajib dipatuhi oleh umat Islam di negeri tersebut.
Katanya, Pekida menerima keputusan Mahkamah Persekutuan dengan penuh tertib, dan memahami bahawa penghakiman tersebut tidak menyentuhsoal kandungan fatwa, tetapi hanya menyentuh isu bidang kuasa ke atas organisasi dan agensi persekutuan.
Namun, sebagai sebuah pertubuhan Islam yang prihatin terhadap masa depan aqidah umat, Pekida tetap menegaskan fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat, dan ini ditegaskan melalui fatwa sah menurut hukum syarak.
Dan, individu Muslim yang berpegang kepada fahaman ini tetap terikat dengan perenggan 1 dan 4 fatwa, dan wajib bertaubat serta kembali ke
jalan Islam yang sebenar.
“Oleh itu, syarikat, pertubuhan atau badan yang menggunakan nama “Islam” tetapi menyebar fahaman bertentangan dengan syariat Islam wajib diteliti semula dan diambil tindakan.
“Islam itu suci. Jangan cemari dengan nama. Jangan kaburkan dengan fahaman sesat. Fatwa bukan pendapat peribadi, ia hukum agama. Dan agama bukan barang mainan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
















