KUALA LUMPUR – UMNO Sabah menggesa Kerajaan Negeri Sabah menjelaskan bentuk bantuan atau langkah strategik yang akan diambil bagi melindungi rakyat khususnya golongan rentan dan berpendapatan rendah.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, ia susulan kesan kenaikan kos sara hidup susulan pelaksanaan penuh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di negeri itu pada 1 Julai depan.
Menurut beliau, Sabah merupakan antara negeri paling terkesan dengan ketidakseimbangan pembangunan dan ketaksamaan pendapatan.
Katanya, kira-kira 40 peratus isi rumah di negeri itu tergolong dalam kategori B40 dengan majoritinya bergantung kepada sektor tidak formal dan ekonomi sara diri.
“Dalam keadaan ini, SST yang dilaksanakan akan memberi tekanan besar kepada kuasa beli rakyat, terutamanya di luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) serta peluasan skop percukaian bermula 1 Julai ini, sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memperluas asas percukaian tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyesuaian kadar dan peluasan skop SST adalah sebahagian daripada pembaharuan fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, dengan memberi keutamaan kepada perlindungan barangan keperluan asas serta pengecualian cukai kepada golongan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Sementara itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, meskipun SST penting untuk menambah hasil negara, namun tanpa dasar sokongan yang adil dan menyeluruh, ia akan menjadi beban kepada rakyat biasa.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri Sabah harus segera memperkenalkan langkah-langkah seperti subsidi bersasar, perluasan kawalan harga barang keperluan dan bantuan tunai bersyarat untuk memastikan kesan cukai tersebut dapat diimbangi dengan sokongan yang berkesan.
Jelas beliau, hasil kutipan cukai juga mesti dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya luar bandar, klinik desa, bekalan air bersih dan liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman yang masih jauh ketinggalan.
“Rakyat Sabah berhak tahu ke mana wang itu disalurkan dan bagaimana ia membantu meringankan beban kehidupan mereka.
“Kepercayaan rakyat bukan datang dari slogan, tetapi dari tindakan yang benar-benar mengutamakan mereka yang paling memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette
















