KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan trend mencabar institusi agama termasuk Mahkamah Syariah dan Majlis Fatwa Negeri.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kes melibatkan Sisters in Islam (SIS) misalnya, bukan sahaja memberi kesan jangka pendek terhadap sesuatu pihak, tetapi membuka ruang luas kepada cabaran berterusan terhadap sistem keadilan syariah yang telah lama menjadi sebahagian kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, selain kes SIS, umat Islam di negara ini juga pernah dikejutkan dengan keputusan kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid tahun lalu, yang mana Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Lebih meresahkan, ujar beliau, cabaran terhadap Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang membolehkan semakan kehakiman di Mahkamah Syariah turut berakhir dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2022 bahawa peruntukan tersebut tidak sah dan terbatal.
“Ini adalah satu lagi petanda bahawa laluan mempertahankan kedudukan institusi syariah semakin mencabar dan memerlukan iltizam berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang berpendirian fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum sebagai sesat dan menyeleweng serta tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1 itu, panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat bukan individu yang menganut agama Islam.
Sementara itu, Ahmad berkata, DUPP melihat perkembangan dalam kes SIS tersebut sebagai satu rangkaian peristiwa yang saling berkait.
Dakwa beliau, ia seolah-olah satu susunan “puzzle” untuk menggugat kewibawaan institusi agama Islam di negara ini khususnya Mahkamah Syariah dan autoriti fatwa di peringkat negeri.
“Justeru, perjuangan mempertahankan institusi Islam tidak berakhir di sini. Bahkan ia kini memasuki fasa yang lebih mencabar dan memerlukan kesatuan fikrah dan kekuatan tindakan daripada seluruh umat Islam,” katanya.
Sementara itu, Ahmad menambah, walaupun keputusan mahkamah tersebut dianggap sebagai kemenangan oleh pihak tertentu, hakikatnya ia tidak membatalkan atau mengetepikan fatwa berkenaan.
Ujar beliau, keputusan itu hanya menyentuh aspek teknikal berkaitan entiti perundangan bahawa fatwa tidak boleh dikenakan ke atas “artificial person” seperti syarikat berdaftar.
“Namun, tidak ada satu pun dapatan mahkamah yang menyangkal bahawa fahaman yang dibawa oleh individu-individu dalam kumpulan tersebut bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam yang sahih,” katanya. – MalaysiaGazette
















