KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan Ketua Polis Negara yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail tidak pernah menjadi ahli mahupun memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.
Sehubungan itu, PDRM memandang serius kesalahan laporan yang diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan yang mengaitkan Mohd Khalid sebagai ahli kepada parti politik.
Setiausaha PDRM, Senior Asisten Komisioner Datuk Kamaruzaman Abdulla berkata, laporan media berkenaan adalah tidak benar, mengeliru dan mencetuskan persepsi yang salah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.
“PDRM juga menegur keras kecuaian media berkenaan dalam menerbitkan maklumat yang tidak disemak secara teliti dan telah mencalarkan reputasi pasukan serta individu.
“Etika kewartawanan seharusnya menuntut setiap laporan yang dikeluarkan perlu mendapat pengesahan fakta, proses semakan silang dan memiliki integriti dalam penulisan.
“Pasukan ini berdiri atas asas neutraliti, integriti dan profesionalisme. Justeru, PDRM tidak akan membiarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pasukan ini,” tegas beliau.
Semalam, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh menegaskan, Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli parti itu, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti tersebut.
“PKR kesal atas kesilapan maklumat profil Ketua Polis Negara ke-15, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dalam media sosial itu yang memaparkan beliau pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR serta pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah,” katanya. – MalaysiaGazette
















