KWSP EPF withdrawal Employees Provident Fund
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan bayaran premium insurans kesihatan disifatkan sebagai satu langkah mundur dan berbahaya.

Menurut Senator Dr. Lingeshwaran R Arunasalam, walaupun hasrat kerajaan untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat namun pada masa sama tindakan itu boleh menggugat matlamat asal penubuhan KWSP, iaitu memastikan keselamatan kewangan rakyat selepas bersara.

“Langkah ini boleh mencetuskan duluan yang menghakis tujuan asal KWSP. Ia memberi isyarat bahawa simpanan persaraan boleh digunakan untuk menampung keperluan semasa sedangkan kita perlu ingat bahawa kita sedang berdepan risiko menjadi negara tua menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Beliau merujuk kepada data KWSP yang menunjukkan hanya 27 peratus pencarum aktif berumur 55 tahun mempunyai simpanan minimum RM240,000 iaitu jumlah yang dianggap asas untuk persaraan yang selesa.

“Jika pengeluaran tambahan terus dibenarkan, jurang simpanan persaraan akan semakin melebar. Ini akhirnya akan menjejaskan maruah dan kesejahteraan warga emas kita,” ujar beliau.

Lingeshwaran turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan itu dieksploitasi oleh industri insurans termasuk syarikat yang mungkin mengambil kesempatan dengan menaikkan premium apabila mengetahui simpanan KWSP boleh diakses bagi tujuan tersebut.

“Kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha mengawal kos penjagaan kesihatan dan mendesak ketelusan daripada hospital swasta besar yang meraih keuntungan tinggi bukan dengan terus menekan pengamal perubatan am (GP) kecil,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan status pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan pada 2023 yang sehingga kini belum memperlihatkan pelan tindakan yang jelas kepada rakyat.

“Kertas Putih itu menggariskan empat teras reformasi sistem kesihatan negara, tetapi tiada pelaksanaan konkrit dibentangkan. Tanpa tindakan, rakyat akan terus dibebani dengan penyelesaian jangka pendek yang tidak menyelesaikan masalah asas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar tidak lagi bergantung kepada langkah reaktif, sebaliknya tampil dengan dasar-dasar berani dan berprinsip yang boleh menjamin masa depan sistem kesihatan negara yang mampan dan adil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast