KUALA LUMPUR – Padah membiarkan pelancong mengemudi bot penumpang di perairan Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu, seorang pengusaha bot bakal berdepan tindakan tegas daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Video berkenaan yang tular di media sosial turut menunjukkan beberapa orang penumpang tidak memakai jaket keselamatan ketika bot bergerak laju sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, siasatan awal mendapati wujud unsur kecuaian dalam kejadian itu apabila nakhoda bot membenarkan penumpang mengendalikan bot tanpa sebarang kelayakan selain membiarkan mereka tidak memakai jaket keselamatan.
Ujar beliau, perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendedahkan penumpang kepada risiko maut.
Tegasnya, bot penumpang seharusnya dikendalikan oleh individu yang berlesen dan terlatih.
“Pihak Maritim Malaysia akan memanggil pengusaha bot berkenaan dalam masa terdekat bagi memberikan keterangan berhubung insiden tersebut dan membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan kejadian itu, tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau kandungan media sosial serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha bot yang melanggar aspek keselamatan dan undang-undang laut.
Jelasnya, kesalahan itu boleh disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952, yang membolehkan tindakan seperti denda, penggantungan lesen, serta penahanan bot dikenakan terhadap pengusaha yang cuai.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan maritim.
“Setiap pengusaha perlu lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali memperjudikan nyawa penumpang,” katanya.
Jelasnya, bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan di laut lebih tinggi, Maritim Negeri Terengganu turut giat menjalankan rondaan serta melaksanakan aktiviti preventive SAR di jeti-jeti penumpang di sekitar Terengganu, termasuk memberi nasihat dan peringatan keselamatan kepada nelayan, pengusaha bot pelancong dan penumpang.
Dalam pada itu, ujar beliau, Maritim Malaysia juga menasihatkan pengunjung pulau peranginan supaya mengutamakan keselamatan diri ketika menaiki bot atau melakukan aktiviti air, selain peka terhadap kelengkapan keselamatan yang disediakan.
“Orang ramai serta komuniti maritim diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pelanggaran undang-undang di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – MalaysiaGazette
















