Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Rayuan kerajaan bagi mengetepikan perintah pemindahan hak milik 263.272 ekar (106.541 hektar) tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB) ditentukan Mahkamah Rayuan esok.

Rayuan itu dikemukakan oleh Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan susulan perintah Mahkamah Tinggi Ogos tahun lalu supaya mendaftarkan semula tanah di Mukim Batu di sini kepada SESB.

Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas mendengar penghujahan pada 20 Februari lalu.

Semasa prosiding itu, peguam SESB, Datuk Dr Cyrus V. Das dan Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan mengemukakan hujah masing-masing.

Kerajaan merayu keputusan Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh pada 7 Ogos 2024 yang mengarahkan pemindahan hak milik tanah kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar  Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Panel yang sama turut dijadual memutuskan rayuan silang SESB terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang tidak membenarkan pemindahan tanah berkenaan kepada syarikat itu atas alasan terdapat bangunan kerajaan di kawasan berkenaan.

Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik dikenali sebagai Duta Enclave yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Hakim Ahmad Shahrir membenarkan saman pemula SESB dan turut menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.

Beliau memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mendaftarkan SESB sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.

Bagaimanapun, pada 12 September tahun lalu, kerajaan berjaya menggantung keputusan berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah ketika membenarkan permohonan kerajaan, memutuskan bahawa terdapat keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan itu.

Mahkamah berpuas hati, tanah terbabit telah secara senyap menyaksikan pembinaan beberapa kompleks kerajaan, kemudahan sukan serta beberapa mercu tanda lain.

Mahkamah berkata, bangunan dan kemudahan itu kini menempatkan sebahagian besar kakitangan dan sumber manusia, serta pelbagai aset awam termasuk rekod sejarah yang berharga dan sensitif seperti di Arkib Negara.

Menurut hakim, jika permohonan penangguhan tidak dibenarkan dan plaintif terus bebas bertindak berdasarkan keputusan penghakiman, akan timbul akibat yang besar dan tidak boleh dipulihkan.

Katanya, oleh itu, permohonan penangguhan harus dibenarkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Pertikaian undang-undang SESB bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan dengan mendakwa tanah berkenaan diambil secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah tersebut secara tidak sah. Rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas itu turut ditolak.

Pada Februari 2017, SESB memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast