Pertamina Indonesia

JAKARTA – Syarikat minyak dan gas milik kerajaan Indonesia, PT Pertamina rancang tukar laluan pengangkutan minyaknya ke laluan perkapalan yang lebih selamat, seperti melalui Oman atau India, sekiranya Selat Hormuz ditutup, kata seorang jurucakap pada Isnin.

Fadjar Djoko Santoso, naib presiden komunikasi korporat di PT Pertamina, berkata kapal-kapal syarikat itu akan menggunakan laluan alternatif yang menjamin keselamatan kapal serta anak kapal, lapor Xinhua.

Santoso membuat kenyataan itu susulan kelulusan parlimen Iran mengenai kemungkinan penutupan Selat Hormuz kepada aktiviti perkapalan, sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran.

“Pertamina telah mengambil langkah awal dengan memastikan keselamatan kapal kami dan mengalihkan laluan ke laluan yang selamat melalui Oman dan India,” katanya kepada pemberita.

Jurucakap itu turut menambah bahawa bekalan minyak mentah dalam negara untuk tujuan pengeluaran masih mencukupi dan terjamin.

“Secara keseluruhan, bekalan minyak mentah kami masih terkawal,” katanya.

–BERNAMA-XINHUA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast