Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali (tengah) menunjukkan katrij cecair vape yang disyaki mengandungi dadah jenis kokain anggaran nilai pasaran mencecah RM7.2 juta di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. Foto HARI ANGGARA, 23 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran katrij cecair vape mengandungi dadah jenis kokain yang pertama seumpamanya di negara ini selepas menahan empat individu di kawasan parkir sebuah hotel di Ampang Jaya, Khamis lalu.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas sebanyak 4,958 katrij cecair vape bernilai RM7.2 juta, dipercayai dibawa masuk dari Singapura untuk pasaran individu kenamaan (VIP) serta antarabangsa.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan dan tiga warga Singapura yang menaiki kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 10 kotak mengandungi 4,958 katrij cecair vape yang mengandungi dadah jenis kokain.

“Penahanan suspek berusia antara 25 hingga 50 tahun itu membawa kepada penemuan sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan lokasi pembungkusan semula katrij tersebut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah dalam bentuk katrij vape itu disasarkan untuk pasaran antarabangsa menerusi perkhidmatan kurier.

“Namun kita percaya ada juga edaran dalam negara, khususnya kepada golongan VIP memandangkan setiap katrij dijual pada harga RM1,500.

“Satu katrij mengandungi 1.9 mililiter cecair kokain. Ini adalah rampasan pertama seumpamanya di negara ini kerana dadah jenis ini kurang mendapat permintaan di rantau Asia disebabkan harganya yang terlalu tinggi,” katanya lagi.

Ujian urin mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis ketamin, manakala dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Polis turut tidak menolak kemungkinan sindiket ini mempunyai rangkaian antarabangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast