Gambar hiasan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memuji tindakan pempengaruh media sosial Mek Yun yang berani membuat laporan polis terhadap laman Facebook, ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ yang mencetuskan komen-komen berunsur seksual dan lucah terhadap kanak-kanak.

Menurut Pesuruhjaya Kanak-Kanak (PK) Suhakam, Dr Farah Nini Dusuki, tindakan tersebut wajar dijadikan contoh tanggungjawab sivik dalam menangani jenayah seksual dalam talian.

Sehubungan itu beliau mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap semua pihak yang terbabit, termasuk pentadbir laman Facebook tersebut dan pengguna yang telah memberikan komen-komen bersifat gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tegasnya, pendedahan kanak-kanak kepada kandungan atau komen yang menjurus kepada seksualisasi adalah pelanggaran serius terhadap hak asasi mereka dan boleh disiasat di bawah Seksyen 10, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana pelaku boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya;

Selain itu, kes boleh disiasat mengikut Seksyen 211, Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, berkaitan larangan terhadap pemberian kandungan jelik, yang mana pelaku boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali; dan Seksyen 292, Kanun Keseksaan, bagi kesalahan penyebaran kandungan lucah, yang mana pelaku boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

“Sebagaimana termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC), khususnya Artikel 34, negara wajib melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk eksploitasi seksual dan penderaan seksual.

“Ini termasuk langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah seorang kanak-kanak untuk mengambil bahagian atau diperguna secara paksa dalam sebarang aktiviti seksual, mengeksploitasi kanak-kanak untuk pelacuran atau amalan seksual lain, serta eksploitasi kanak-kanak dalam bahan lucah atau pornografi.

“Malaysia sebagai parti kepada UNCRC mempunyai obligasi moral dan undang-undang untuk memastikan bahawa sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak, termasuk di alam maya, dicegah dan ditangani secara tegas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak termasuk di alam maya merupakan suatu tanggungjawab kolektif.

Ibu bapa, pendidik, pengendali platform digital, pembuat dasar dan masyarakat keseluruhan perlu berganding bahu memastikan ruang digital negara ini bebas daripada eksploitasi, gangguan, dan penyalahgunaan terhadap kanak-kanak.

“Semua pihak digesa untuk lebih peka dan bertindak segera apabila berhadapan dengan kandungan yang mencurigakan atau berpotensi menjatuhkan maruah kanak-kanak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast