KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memandang serius laporan media mengenai dakwaan pemandu bas persiaran hanya menerima gaji pokok RM700 sebulan tanpa elaun tetap.
Tegasnya, semua majikan wajib memastikan pekerja termasuk pekerja sambilan menerima gaji minimum yang ditetapkan iaitu RM1,700 sebulan, tanpa mengira sama ada melalui struktur gaji pokok atau jumlah pendapatan bulanan.
Sehubungan itu, ia menasihatkan pekerja yang menerima bayaran di bawah RM1,700 untuk segera membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja berhampiran.
“Perenggan 3(2) dan 5(2) PGM 2024 menetapkan bagi pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang perlu dibayar kepada pekerja itu hendaklah tidak kurang daripada gaji minimum bulanan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 (PGM 2024) berdasarkan Seksyen 43 Akta 732 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.
Bagi kesalahan yang berterusan, majikan boleh denda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Bagi kesalahan berulang, penalti yang boleh dikenakan ialah denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun.
“Semua pihak wajib mematuhi peraturan gaji minimum yang telah ditetapkan bagi melindungi kebajikan dan hak pekerja di negara ini.
“KESUMA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pelanggaran Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732),” katanya lagi.
Tambahnya, Jabatan Tenaga Kerja akan mempertingkat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aduan atau kesalahan pemotongan gaji yang melanggar PGM.
Sekiranya aduan disahkan oleh mahkamah, majikan boleh diarahkan untuk membayar perbezaan gaji serta elaun-elaun yang terjejas, selaras dengan Seksyen 44 Akta 732.
Di samping itu, KESUMA kini sedang menjalankan kajian menyeluruh ke atas 28 undang-undang berkaitan buruh melalui Task Force Kajian Semula Pelan Reformasi Undang-undang Perburuhan Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Dr Mohd Shaharin Umar bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap sebarang kelompongan undang-undang termasuk isu pelaksanaan gaji minimum.
Kajian tersebut dijadual untuk dimuktamadkan pada Mei 2026. -MalaysiaGazette
















