Malaysia dipilih sebagai tuan rumah WSSF 2025 yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 yang akan diadakan pada 29 September hingga 3 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Acara berprestij itu dijangka dihadiri lebih 1,500 delegasi daripada 336 organisasi Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) merangkumi 164 negara, selain menteri-menteri, ketua-ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal dan wakil daripada organisasi antarabangsa dari seluruh dunia.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, bertemakan “Shaping Social Security for a World in Transition”, forum kali ini bakal membincangkan cabaran serta peluang yang tersedia akibat perubahan demografi global, pasaran buruh yang dinamik, kemajuan teknologi dan usaha ke arah kelestarian yang kesemuanya membentuk masa depan sistem keselamatan sosial.

Tambahnya, program lima hari itu menyediakan pelbagai sesi plenari merangkumi lebih 80 sesi interaktif, bengkel panel, sesi tutorial dan Zon Inovasi ISSA yang menjadikan forum ini satu pengalaman holistik dalam perkongsian ilmu dan memupuk kerjasama antarabangsa.

WSSF 2025 juga bakal menjadi platform strategik bagi meneroka idea, idea futuristik dan inovasi dalam memperkasa sistem keselamatan sosial agar lebih relevan, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global masa kini.

“Perkongsian pandangan daripada tokoh-tokoh antarabangsa dan pelopor keselamatan sosial amat bernilai, malah mampu menjadi pemangkin kepada reformasi sistem sosial yang bukan sahaja melindungi, tetapi juga memperkasa dan mengukuhkan daya tahan komuniti,” kata PERKESO dalam satu kenyataan hari ini.

WSSF 2025 dianjurkan oleh ISSA dengan kerjasama PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia turut disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) selaku sekretariat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).

Menurut PERKESO, penganjuran acara ini akan mengukuhkan komitmen Malaysia dalam memperkemas sistem perlindungan sosial negara, selain mempertingkatkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik global dalam agenda kesejahteraan sejagat.

Ia juga membuka peluang unik untuk Malaysia mengetengahkan dasar dan inisiatif keselamatan sosial di pentas dunia.

Sementara itu, buat julung kalinya, Festival dan Anugerah Video Keselamatan Sosial Antarabangsa akan diperkenalkan bagi menonjolkan komitmen dalam mempromosikan keselamatan sosial.

Anugerah Pencapaian Cemerlang ISSA turut akan disampaikan kepada negara yang mempamerkan kejayaan luar biasa dalam memperkukuh sistem keselamatan sosialnya. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast