KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan penghasilan 16 juta tan hidrogen menjelang 2050 yang bakal menyumbang sehingga RM905 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping mewujudkan lebih 200,000 pekerjaan hijau menerusi Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata ekonomi hidrogen bukan sekadar agenda tenaga bersih tetapi ia juga adalah peluang kepada Malaysia untuk membina masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan inklusif.
“Kejayaan ini dapat dicapai bergantung kepada pelaburan dalam bakat dan inovasi tempatan.
“MOSTI komited untuk memperkasa generasi muda melalui kerjasama dengan industri dan institusi pendidikan, pembiayaan penyelidikan bersasar serta latihan teknikal,” katanya semasa berucap di acara MOSTI Tech Talks siri ke-4 di Auditorium Mahyuddin, Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu.

Kaedah untuk mencapai kejayaan besar dalam industri hidrogen itu dibincangkan secara mendalam menerusi MOSTI Tech Talks siri ke-4 yang bertajuk ‘Hydrogen: How Do We Achieve a Home Run for Humanity’s Future Energy?’ hari ini.
Selain merasmikan MOSTI Tech Talks 2025 siri keempat, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut bermurah hati untuk berkongsi pandangan sebagai panel utama dalam perbincangan tersebut sebelum diteruskan dengan panel kedua iaitu Pengurus Besar Kanan, Solutions Domain Expert in the Division of Project, Technology and Health, Safety, Security & Environment (PTHSSE), Petronas, Prof. Adj. Ir. Mohamad Faudzi Mohamad Yasir.
Prof Mohamad Faudzi yang bertanggungjawab menyediakan penyelesaian teknologi strategik yang menyokong agenda Peralihan Tenaga Petronas telah berkongsikan pandangan dan pengetahuan mengenai teknologi hidrogen, ekonomi berasaskan hidrogen dan masa depan hidrogen.
Segmen terakhir yang merupakan sesi soal jawab dikendalikan Naib Presiden, Pejabat Strategi dan Projek Khas, NanoMalaysia Berhad menyaksikan pelbagai soalan menarik dilontarkan oleh para peserta.

MOSTI dalam kenyataannya berkata, program siri keempat Tech Talks yang disertai lebih 250 peserta termasuk kakitangan dan para siswazah turut dihadiri pengurusan tertinggi MOSTI dan UMT.
Katanya, MOSTI Tech Talks yang diperkenalkan oleh Lih Kang telah menjadi platform penting untuk menyebarluaskan pengetahuan sains, teknologi dan inovasi (STI) serta menggalakkan interaksi langsung antara kepimpinan kementerian dan masyarakat akademik.
Tambahnya, ia selaras dengan prinsip MADANI sebagai panduan dan fokus MOSTI yang berteraskan kepada konsep P.R.E.C.I.SE – People Centric, R&D, Enculturate, Capacity Building, Investment dan Start-ups Ecosystem.
Jelas MOSTI, P.R.E.C.I.S.E yang diperkenalkan oleh Menteri sejak 2023 mewajibkan setiap program yang dilaksanakan hendaklah memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Pendekatan ini memastikan dapat STI dirasai dan dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat dalam kehidupan seharian. -MalaysiaGazette
















