Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MCA mendakwa parti itu menerima banyak keluhan daripada para pemborong dan pengedar buah-buah import yang kini terhimpit akibat struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bersifat berlapis atau bertindih.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, mereka bukan sahaja dikenakan SST terhadap buah import itu sendiri, malah turut terbeban dengan cukai ke atas logistik, penyimpanan sejuk beku dan perkhidmatan penghantaran.

“Ini semua dikenakan SST. Jika ini terjadi, harga akan meningkat, dan akhirnya akan memberi kesan kepada pembeli. “Lebih membimbangkan, kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai ini turut dibimbangi akan mengakibatkan peningkatan kos operasi, terutamanya bagi fasiliti penyimpanan sejuk beku yang memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi.

“Gabungan semua faktor ini menyebabkan kos keseluruhan akan meningkat secara mendadak, yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh pengguna dalam bentuk harga buah yang lebih mahal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, rakyat sepatutnya dibantu, bukan dikenakan lebih banyak cukai apatah lagi pelaksanaan ini hanya akan menambahkan tekanan dan melumpuhkan daya beli rakyat serta prestasi peniaga kecil dan sederhana (PKS).

Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA turut menyuarakan kebimbangan mengenai ketidakkonsistenan dasar kerajaan, yang menurutnya membebankan keperluan asas rakyat tetapi dalam masa yang sama memberi pelepasan cukai kepada barangan mewah.

“Apakah keutamaan sebenar kerajaan? Kenapa beban ditumpukan kepada keperluan asas rakyat, bukan kepada kemewahan? Tindakan kerajaan ini seperti jerutan perlahan ke atas rakyat – membebankan secara beransur-ansur, tetapi berterusan. Akibatnya, kuasa beli merosot, perbelanjaan isi rumah berkurang, dan ekonomi domestik menjadi semakin perlahan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chin Nyuk Moy meluahkan kebimbangan terhadap impak langsung pelaksanaan cukai ini terhadap kelangsungan perniagaannya.

“Cukai ini bukan dikenakan sekali sahaja, ia meliputi buah-buahan yang diimport, logistik dan penghantaran. Setiap lapisan ini kami dikenakan SST. Berapa banyak cukai yang perlu kami bayar?

“Saya juga menjalankan perniagaan buah sejuk beku, 1 Julai tarif elektrik akan naik, ini menambahkan tekanan kepada kami. Saya harap kerajaan kaji semula pelaksanaan ini, ia amat membebankan kami,” katanya.

Dalam masa yang sama, Presiden Persatuan Peniaga-peniaga Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur, Ong Mok Hooi menekankan mereka tidak menolak dasar kerajaan secara semberono, tetapi mengharapkan pelaksanaan yang lebih adil dan seimbang.

“Kami tak pernah bantah apa juga dasar dan polisi yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan, tetapi biarlah pelaksanaan itu tidak membebankan kami sebagai peniaga dan rakyat Malaysia.

“Jika kerajaan benar-benar nak bantu PKS, kenapa tarik semula subsidi dan kenakan cukai tetapi dalam masa yang sama membenarkan projek ‘gajah putih’ diteruskan?,” tegasnya.

Lawrence menambah, MCA bukan sahaja mendengar secara langsung keluhan tersebut, malah bersedia bertindak sebagai perantara bagi memastikan suara industri dan peniaga kecil ini didengari.

Susulan itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA serta dua persatuan tersebut menggesa kerajaan untuk menarik semula pelaksanaan SST terhadap buah-buahan import dan kos berkaitan seperti logistik dan penghantaran dan melaksanakan audit semula terhadap struktur SST yang mencetuskan kesan cukai berlapis.

Ia juga akan menubuhkan jawatankuasa rentas kementerian bagi rundingan terbuka dengan persatuan industri dan pengguna dan memastikan sebarang dasar cukai baharu hanya dilaksanakan selepas penilaian impak pasaran dan libat urus awam yang menyeluruh.

“Jika rakyat pun tak mampu makan buah, itu bukan kemajuan — itu kegagalan dasar. Sebiji buah mungkin kecil, tapi ia mencerminkan sama ada kerajaan benar-benar prihatin terhadap beban rakyat atau tidak,” tegas Lawrence. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast