KEPALA BATAS – Tahap kesuburan di Pulau Pinang kekal rendah apabila Kadar Kesuburan Keseluruhan (Total Fertility Rate) adalah 1.3 anak secara puratanya dilahirkan oleh seorang wanita , jauh daripada paras penggantian populasi yang sepatutnya berada pada tahap 2.1
Menurut Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah, kadar itu menunjukkan bahawa secara purata, setiap pasangan tidak mampu menggantikan jumlah ibu bapa mereka melalui kelahiran anak.
“Kadar kesuburan Malaysia secara keseluruhannya juga dilaporkan berada di bawah paras penggantian, iaitu sekitar 1.7 anak bagi setiap wanita.
“Ini sangat membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap struktur demografi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Lelaki Sempena Sambutan Hari Bapa 2025 peringkat Pulau Pinang mewakili Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah.
Mengulas lanjut mengenai masalah kesuburan, katanya, bukan lagi isu yang hanya tertumpu kepada wanita semata-mata, sebaliknya turut melibatkan faktor lelaki.
“Daripada data klinik kesuburan LPPKN diseluruh Malaysia, didapati 60 peratus daripada analisa air mani yang dilaksanakan adalah abnormal.
“Maka, kami tekankan kepada pasangan bahawa kedua-dua pihak perlu menjalani saringan dan rawatan.
“Antara ujian asas yang dilakukan di LPPKN termasuk analisis air mani bagi lelaki, manakala wanita pula menjalani ujian hormone, ujian ultrasound dan pemeriksaan tiub fallopio untuk mengenalpasti punca masalah kesuburan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, bagi membantu pasangan yang belum dikurniakan zuriat, LPPKN telah memperkenalkan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (Program BuAI), yang menyasarkan pasangan warganegara Malaysia dengan pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM10,000, pasangan yang berkahwin secara sah dan berdaftar, umur isteri kurang daripada 36 tahun serta yang mempunyai masalah subfertiliti primer atau sekunder.
Jelasnya, program BuAI ini adalah untuk membantu pasangan yang memerlukan rawatan kesuburan asas seperti ubat hormone, ujian ultrasound dan prosedur IUI dan kos bantuan rawatan kesuburan yang diberikan adalah sehingga maksimum RM2,000 bagi satu kitaran rawatan.
“Rawatan ini disediakan di empat lokasi termasuk di Klinik Subfertiliti LPPKN Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak.
“Bagi yang tidak layak menerima subsidi di bawah Program BuAI, mereka masih boleh mendapatkan rawatan secara berbayar dengan kadar mampu milik. Kami sediakan makmal ujian air mani, bilik prosedur IUI, serta ubat-ubatan yang diperlukan.
“Kos rawatan yang ditawarkan adalah berpatutan, dengan anggaran keseluruhan sekitar RM1,500 hingga RM2,000, namun bayaran dibuat secara berperingkat mengikut sesi rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette















