Lelaki Indonesia yang ditahan di KLIA oleh AKPS kerana cuba menyeludup keluar Burung Sewah Tahu dari KLIA.

KUALA LUMPUR – Satu cubaan menyeludup keluar spesies hidupan liar yang dilindungi ditumpakan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) malam kelmarin.

Operasi yang dijalankan sekitar jam 9.10 malam oleh AKPS KLIA dengan kerjasama AVSEC telah membawa kepada penahanan seorang lelaki  Indonesia berumur 49 tahun.

Suspek merupakan penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Surabaya didapati membawa satu kotak kertas yang telah didaftar masuk ke dalam kargo pesawat.

Pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi empat ekor burung disyaki daripada spesies Burung Sewah Tahu, yang masing-masing disorokkan di dalam bekas polipaip.

Hasil siasatan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada Jabatan Perhilitan untuk membawa keluar haiwan tersebut dari Malaysia.

Kesemua burung tersebut adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Antara spesis Burung Sewah Tahu yang dicuba diseludup keluar dari KLIA.

Susulan itu, pihak AKPS telah menyita kotak dan spesies hidupan liar berkenaan berdasarkan peruntukan undang-undang melalui Borang Senarai Benda Disita (PHL 01/2010).

Nilai keseluruhan haiwan yang disita dianggarkan berjumlah RM52,000.

AKPS berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis KLIA 2 dan suspek kini ditahan reman di Balai Polis Aeropolis sementara menunggu permohonan reman daripada pihak mahkamah.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 71, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], yang memperuntukkan hukuman tegas terhadap individu yang membawa keluar spesies dilindungi tanpa kebenaran.

AKPS mengingatkan sebarang aktiviti pemilikan, penyeludupan atau pemindahan hidupan liar tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast