Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang mengenai perkembangan terkini operasi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 JUN 2025.

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beliau dimaklumkan berkenaan perkara itu sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan pagi ini.

“Ya, DPP memaklumkan saya, kalau sekiranya dibuat keputusan lain, rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, Azam berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perasaan bersifat peribadi terhadap mana-mana pihak yang bersabit dengan kes di mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang mengenai perkembangan terkini operasi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 JUN 2025.

“Saya tidak ada personal (hubungan peribadi) dengan sesiapa. Saya tidak ada rasa kecewa atau suka dalam menyiasat apa-apa kes sekali pun,” katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana Armada.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wakil rakyat itu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Hakim Noorin ketika membacakan keputusan itu antara lain berpendapat, pertuduhan bersubahat pecah amanah yang dihadapi oleh Syed Saddiq, tidak berasas.

Beliau berkata, pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan daripada dana Armada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast