SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mula menerima aset-aset pertahanan baharu secara berperingkat bermula Oktober ini sebagai sebahagian usaha pemerkasaan keupayaan pasukan itu di bawah pelan strategik jangka panjang Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).
Panglima TUDM ke-20, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, aset yang bakal diterima termasuk sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), pesawat tempur ringan FA-50 (LCA), pesawat rondaan maritim (MPA), radar pertahanan udara serta helikopter baharu.
“Secara ringkasnya, beberapa sistem dan platform seperti UAS, FA-50 LCA, MPA, radar pertahanan udara dan helikopter baharu sedang dalam proses perolehan dan akan mula diterima ke dalam inventori TUDM mulai Oktober tahun ini, 2026, 2027 dan sehingga hujung 2028.
“Semua aset ini akan meningkatkan keupayaan TUDM dalam melaksanakan tugas mempertahankan ruang angkasa tanah air tercinta ini,” katanya.
Mohd Asghar Khan berkata demikian ketika berucap dalam Istiadat Perbarisan Persaraan dan Serah Terima Tugas Panglima TUDM di Pangkalan Udara Subang hari ini.
Menurutnya, segala perolehan aset baharu itu dilaksanakan selaras dengan pelan strategik Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
“Alhamdulillah, dalam tempoh saya diberi amanah ini, saya telah berjaya melaksanakan beberapa pelan yang dirancang termasuk menerusi CAP55.
“Ia bukan sekadar menambah aset baharu tetapi memperkukuh keupayaan menyeluruh TUDM untuk kekal kredibel dan moden,” ujarnya.
Beliau turut menekankan penambahan aset mesti disusuli dengan pembangunan modal insan dan latihan yang komprehensif bagi memastikan aset dapat dioperasikan secara profesional dan berkesan.
Tegasnya, struktur latihan TUDM diperkukuh melalui penghantaran pegawai serta anggota ke kursus-kursus dalam dan luar negara selaras dengan keperluan teknologi dan taktik peperangan masa kini.
Mohd Asghar Khan turut menyatakan TUDM kini berada di ambang transformasi strategik yang penting dan menyeru seluruh warga pasukan itu agar terus mendukung agenda perubahan dan kemajuan.
“Saya yakin barisan kepimpinan baharu mampu membawa TUDM ke tahap lebih tinggi dengan sokongan warga yang setia, tangkas dan bersedia dalam menghadapi cabaran multi dimensi,” katanya.
Mohd Asghar Khan menamatkan perkhidmatan pada Disember tahun ini selepas lebih 42 tahun berkhidmat di dalam TUDM.
Beliau hari ini telah menyerahkan kepimpinan secara rasmi kepada Timbalannya, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris yang kini menjadi Panglima TUDM ke-21. – MalaysiaGazette















