Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR –   Konflik berterusan di Timur Tengah, khususnya antara rejim Zionis Israel dan rakyat Palestin serta ketegangan membabitkan Iran, memberi kesan langsung terhadap keterjaminan makanan global dan turut mengancam rantaian bekalan makanan di Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perang yang berlaku bukan hanya isu geopolitik tetapi turut menyentuh aspek keperluan asas rakyat iaitu makanan.

“Apabila rantaian bekalan global terganggu, harga makanan akan melonjak dan akhirnya rakyat yang terkesan. Ini bukan sekadar isu antarabangsa, ia menjejaskan periuk nasi kita,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, krisis itu membuktikan bahawa Malaysia perlu bersungguh-sungguh dalam memperkukuh sektor pertanian, mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkasakan pengeluaran tempatan.

“Kita mesti menyediakan dasar sokongan yang mampan kepada petani, penternak dan nelayan. Ini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak. Ini perjuangan bersama,” katanya.

Mohamad merayu agar semua pihak termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat serta rakyat keseluruhannya berganding bahu menjayakan agenda keterjaminan makanan negara.

“Negara yang tidak mampu mengisi perut rakyatnya akan sentiasa berada dalam kedudukan yang lemah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mendoakan keamanan buat rakyat Palestin dan Iran serta menyeru rakyat Malaysia agar terus bersiap siaga demi kelangsungan dan kestabilan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast